330 ekor burung dari Afrika dilupus positif selesema burung

Iklan
330 ekor burung itu melibatkan jenis Green Turaco, Violet turaco, Senegal Parrot, Rose Ring Parakeet dan Singing Finch dari negara Mali, Afrika.

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melupuskan 330 ekor burung diimport dari Mali, Afrika pada 13 Mei lalu selepas didapati positif Avian Influenza (selesema burung).

Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, pelupusan itu dibuat di Stesen Kuarantin Haiwan KLIA, di sini kira-kira jam 9 pagi, pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan 330 ekor burung bernilai RM23,190 itu melibatkan jenis Green Turaco (Tauraco Persa), Violet turaco (Musophaga Violacea), Senegal Parrot (Piocephalus Senegalus), Rose Ring Parakeet (Psittacula Krameri) dan Singing Finch (Serinus Mkzambicus) dari negara Mali, Afrika.

Kesemua burung yang dirampas dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Piawaian ditetapkan.

"Prosedur pengimportan burung memerlukan ia dikuarantin terlebih dahulu di Stesen Kuarantin Haiwan sebelum dibenarkan untuk masuk ke dalam negara.

Iklan

"Semasa tempoh kuarantin, beberapa sampel diambil daripada burung tersebut dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV). Hasil ujian makmal mendapati kemasukan burung tersebut didapati positif pengesanan penyakit Avian Influenza (selesema burung)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan unggas negara terjejas.

Iklan

Katanya, kesemua burung yang dirampas dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Piawaian ditetapkan.

"Pengimportan tumbuhan, binatang, karkas dan sebagainya dengan penyakit adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Sekyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Maqis Selangor melupus 330 ekor pelbagai jenis burung di Stesen Kuarantin Haiwan KLIA, Sepang selepas ujian sampel didapati positif selesema burung.