KUANTAN - Mudir Maahad Tahfiz Al-Haq, Rompin, Muhammad Ikram Mazlan, 31, berjaya meraih kedudukan antara lapan pemanah terbaik dunia pada Kejohanan Peringkat Dunia 9th Conquest Cup Fetih Kupasi di Istanbul, Turki yang berlangsung pada Jumaat hingga Sabtu.
Kejayaan itu amat membanggakan rakyat negara ini terutama bagi warga Majlis Taawun Pusat Pendidikan Islam Pahang (Mantap).
Pengerusi Mantap, Khairul Azmi Ismail berkata, biarpun berlatar belakangkan bidang agama, menguruskan sebuah maahad tahfiz dan sebagai imam masjid, Muhammad Ikram mampu cemerlang dalam sukan memanah.
Menurut beliau, kejohanan itu merupakan platform memanah tradisional tertua di dunia yang menghimpunkan ratusan atlet memanah dari seluruh pelosok dunia.
"Kejayaan ini jelas membuktikan pemanah tradisional di negara ini sudah semakin ke hadapan dalam usaha memperkasakan sukan sunah dan seterusnya bergerak ke satu tahap yang lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Khairul Azmi berkata, Muhammad Ikram layak untuk menyertai kejohanan itu tahun lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19 beliau tidak menyertainya.
"Alhamdulillah tahun ini beliau bersama seorang lagi pemanah negara berjaya ke sana bagi memikul tanggungjawab besar negara.
"Saya mewakili warga Mantap dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan tahniah atas kejayaan pemanah tradisional negara ini.
"Saya juga berdoa agar beliau lebih berjaya dalam mengetengahkan sukan sunnah ini di persada dunia pada masa akan datang," katanya.
Muhammad Ikram ketika ini masih berada di Turki dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad.
Conquest Cup atau Fateh Kupasi merupakan pertandingan memanah campuran tradisional dan moden terbesar bertaraf dunia di bawah anjuran Okcular Vakfi, Turki.
Kejohanan ini dianjurkan bermula tahun 2013 sempena ulang tahun pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al Fatih pada tanggal 29 Mei 1453.
Fetih Kupasi merupakan acara memanah berprestij peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Turki setiap tahun.