SEMENYIH - Tiga wartawan dan seorang jurukamera akhbar tempatan mengalami detik menyeramkan apabila beberapa kali ‘diganggu’ di dalam rumah inap mereka di Semenyih sejak Jumaat lalu.
Mereka yang ke sana untuk membuat liputan PRK DUN Semenyih mula merasakan sesuatu yang pelik ketika pertama kali sampai ke rumah tersebut.
Menurut salah seorang wartawan yang ingin dikenali sebagai Eddy, dia memberitahu diganggu ketika berseorangan di dalam rumah tersebut apabila terdapat orang memberi salam.
"Dari luar saya dengar orang beri salam, saya menyahut kerana sangkakan rakan sekerja pulang. Bila tengok di luar, tiada orang pun.
"Saya mesej rakan sekerja, tanya ada ke mereka balik rumah. Mereka kata mereka masih berada di tapak ceramah. Terus meremang bulu roma saya,” katanya.
Eddy berkata, jurukameranya juga diganggu pada waktu malam apabila dia merasakan kakinya digeletek ketika sedang tidur.
"Dia berani sikit, jadi dia tidaklah rasa terganggu sangat. Bila dia cerita pada kami, terkejut jugalah,” katanya.
Seorang lagi wartawan pula mendakwa beberapa kali mendengar salakan anjing di hadapan dan belakang rumah mereka, malam semalam.
Menurutnya, sekumpulan anjing sentiasa berada di hadapan rumah dan mula menyalak setiap hari bermula jam 2 pagi.
"Mulanya menyalak di depan, kami tak layan. Tak lama lepas itu, anjing itu menyalak di belakang pula.
"Memang hari-hari anjing itu menyalak tapi malam semalam agak lama. Dari jam 2 pagi sampai waktu Subuh. Lepas azan barulah berhenti,” ujarnya.
Menurutnya, kisah seram itu tular dalam kalangan media dan kini, mereka hanya boleh berdoa semuanya dipermudahkan kerana mereka menetap di rumah tersebut sehingga 2 Mac nanti.