KOTA BHARU - Setiap tindakan yang dilakukan kerajaan terutamanya melibatkan isu pencegahan penularan Covid-19 adalah bersifat menyeluruh, bukannya atas kepentingan individu.
Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata, semua pihak seharusnya menyokong dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan dan tidak bertentangan supaya ia tidak menyusahkan banyak pihak.
Menurutnya, ia termasuklah kesedaran pengambilan vaksin, menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya yang perlu dilihat dengan lebih positif, bukannya di racuni dengan pandangan negatif secara individu.
"Pendakwah contohnya, harus ingat apa yang diputuskan kerajaan itu adalah untuk kemaslahatan umum. Kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua keputusan yang dibuat dan mereka bertindak atas mandat rakyat.
"Pada saat kita berada dalam keadaan darurat ini, kita Islam tidak buka ruang untuk berbeza pandangan, kita terima satu pandangan sahaja, itu ketetapan yang dibuat kerajaan.
"Apabila kerajaan memutuskan sudah ada satu ketetapan daripada pihak pemerintah, maka kita kena wajib taat dan patuh, itu saja tugas kita," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melarang semua pengajaran kuliah yang bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak dan program vaksinasi Covid-19.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, tindakan itu diambil susulan ada pendakwah termasuk pemegang tauliah majlis agama itu dikesan mengulas mengenai penularan wabak Covid-19 dan program vaksinasi.
Mengulas lanjut, Shukri berkata, disebabkan ketidakpatuhan kepada arahan kerajaan telah memberi kesan kepada peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga menyusahkan banyak pihak.
"Siapa yang susah, rakyat juga yang susah. Kalau MAIK sudah keluarkan arahan, surat pekeliling, kalau kita lawan juga, mungkin boleh dikenakan tindakanlah," katanya.