Elak pembelian panik, berlebihan: KPDNHEP

Iklan
Alexander Nanta Linggi

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa semua pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ di seluruh negara mulai 1 Jun ini.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa kementerian setiap hari bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di semua negeri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya yakin dan memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara masih stabil serta mencukupi sepertimana pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu yang tidak merekodkan sebarang kes terputus bekalan barangan keperluan asas.

"Adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya peniaga dan pengguna bersama-sama bertanggungjawab memastikan keselamatan serta kesihatan melalui kawalan kendiri.

Iklan

"Malah, masing-masing juga perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) selain tidak melakukan pembelian panik supaya bekalan barang keperluan asas di seluruh negara terus berada pada tahap stabil dan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Nanta turut memaklumkan bahawa operasi had maksimum dua jam (Ops Had 2J) ditangguhkan serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, namun SOP PKP 3.0 yang lain masih terus dikuatkuasakan.

Iklan

"Justeru, kementerian berharap pengguna dan pengunjung premis perniagaan akan terus merancang perbelanjaan dan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di premis perniagaan yang boleh menyebabkan penularan Covid-19 meningkat,” katanya.

Pada Jumaat, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19

Sidang khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilaporkan turut memutuskan semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.