SUNGAI PETANI - Seorang pemandu lori yang membawa kayu balak haram bertindak melanggar kenderaan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bagi mengelak daripada ditahan di Lebuhraya Baling-Butterworth, pada 5 Mei lalu.
Pengarah JPNK, Muhamad Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, anggota JPNK terpaksa berdepan situasi cemas apabila pemandu lori yang disyaki memindahkan kayu balak secara haram itu bertindak agresif dan biadab dengan melanggar kenderaan pacuan empat roda milik jabatan.
Menurutnya, dalam operasi itu, sepasukan anggota dan pegawai menggunakan tiga kenderaan jabatan untuk melaksanakan operasi menahan lori balak haram.
"Apabila tiba di lokasi, anggota kemudian meminta pemandu lori menghentikan kenderaan namun tidak diendahkan sebelum salah sebuah kenderaan jabatan memintas lori terbabit.
"Bagaimanapun pemandu terbabit tidak berhenti dan terus melanggar kenderaan jabatan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurutnya, akibat kejadian, pemandu kenderaan jabatan terpaksa mengelak daripada terus dilanggar dan kenderaan pacuan empat roda milik JPNK itu mengalami kerosakan kecil.
Jelasnya, kenderaan jabatan terbabit kemudian mengejar lori itu sejauh 35 kilometer biarpun dihalang oleh tonto menggunakan kereta jenis Perodua Myvi dan Toyota Hilux.
"Lori itu kemudian berhenti di sebuah rumah di Kampung Ulu Bakai, Baling sebelum pemandunya melarikan diri," katanya.
Tambahnya, satu laporan polis sudah dibuat dan pemandu lori terbabit kini sedang diburu polis berikutan menghalang tugas penjawat awam.
Menurut Muhamad, susulan kejadian itu, JPNK melakukan operasi berterusan bagi membanteras kegiatan mengangkut balak tanpa kebenaran.
Kata beliau, hasilnya, dua pemandu lori berjaya ditahan selepas dipercayai mengangkut kayu balak jenis kelat tanpa membayar cukai kepada kerajaan negeri di Jalan Padang Serai-Tasik Gulugor iaitu sempadan negeri Kedah dan Pulau Pinang, kira-kira jam 6.45 pagi pada Jumaat.
"Semakan mendapati kedua-dua pemandu lori berusia 22 dan 32 itu tidak memiliki pas pemindah menyebabkan dua buah lori serta kayu balak dianggarkan bernilai RM30,000 disita.
"Siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai adalah kumpulan yang sama melakukan kegiatan memindahkan kayu haram sebelum ini.
"Mereka menggunakan modus operandi memandu lori yang sarat muatan kayu balak haram pada awal pagi bagi mengelak dikenakan tindakan,"katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 68 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).