SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara Malaysia pada Selasa lalu disahkan mendapat kelulusan penerbangan Malaysia.
MOT dalam satu kenyataan berkata, kebenaran bagi pesawat awam tersebut dibuat berdasarkan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.
Menerusi peraturan ICAO juga, MOT berkata, Malaysia akan meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.
"Kami mengambil maklum berhubung pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara berlepas dari Malé, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada Rabu, 19 Mei 2021 jam 2.55 pagi.
"Sehubungan itu, kami ingin menegaskan bahawa kelulusan penerbangan yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) ini tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Mengulas lanjut, MOT berkata, tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa penerbangan Malaysia juga turut mengesahkan bahawa pesawat tersebut tidak kembali ke ruang udara Malaysia setelah tiba di destinasinya, Singapura.
ARTIKEL BERKAITAN: Kehadiran pesawat pengintip prototaip Israel timbul tanda tanya
Pesawat Israel di Singapura bukan untuk mengintip
Pada Selasa, kehadiran pesawat pengintip prototaip Israel yang dilaporkan sedang menjalankan penerbangan ujian merentas ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di Singapura mengundang pelbagai tanda tanya.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, walaupun pada dasarnya ia adalah penerbangan biasa tetapi kehadiran pesawat tersebut yang dilengkapi dengan perkakasan perisikan elektronik menarik perhatian ramai.