KUANTAN - Jumlah pelanggan yang berbelanja di beberapa pasar raya utama di daerah ini menunjukkan peningkatan namun tiada kesesakan luar biasa.
Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 2 petang pada Sabtu mendapati kebanyakan mereka tidak membeli untuk stok 'lockdown' tetapi mahu mendapatkan barang keperluan.
Bagaimanapun, mereka bimbang bekalan makanan utama seperti beras, minyak masak dan roti telur kehabisan apabila tular maklumat akan berlaku pembelian panik susulan pengumuman pelaksanaan 'total lockdown' bermula 1 Jun ini.
Seorang suri rumah, Sabariah Saari, 43 berkata, dia hanya membeli barang keperluan penting sahaja untuk bekalan beberapa hari.
Menurutnya, dia tidak membeli untuk persiapan 'lockdown' tetapi sekadar mahu mendapatkan keperluan lebih awal.
"Sebelum datang, saya sudah senaraikan barangan yang perlu untuk dibeli lebih awal," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Indera Mahkota di sini pada Sabtu.
Sementara itu, pembeli, Abdul Karim Ahmad, 55, memberitahu, suasana di pasar raya yang dikunjunginya berada dalam situasi tenang.
Katanya, dia pada mulanya bimbang akan berlaku kesesakan tetapi sangkaan itu salah kerana pembeli masih boleh berbelanja barang keperluan tanpa perlu bersesak.