Kongsi pengalaman dijangkiti Covid-19

Iklan
Dr Azman (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Tengku Ibrahim Farihaddin (tiga dari kanan) dan Persatuan Kebajikan Kasih Sayang (Ai Xian) Malaysia di PKRC USM Kubang Kerian.

KOTA BHARU - Bekas pesakit Covid-19 disaran menjadi duta membantu kerajaan melawan virus itu melalui perkongsian pengalaman mereka dalam tempoh dijangkiti dan dirawat.

Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, perkongsian itu lebih mudah difahami oleh masyarakat selain kempen pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan.

Iklan
Iklan

"Saya amat berharap perkongsian itu (pengalaman dijangkiti Covid-19) mampu meningkatkan tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat untuk terus melawan Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita di PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang kerian di sini pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menerima sumbangan peralatan kebersihan diri untuk pesakit Covid-19 yang sedang menjalani rawatan di PKRC Kampus USM Kubang Kerian daripada kerabat Kelantan, Datuk Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissal dan Persatuan Kebajikan Kasih Sayang (Ai Xian) Malaysia.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Dr Azman menzahirkan ucapan terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik serta individu atas sumbangan kepada mangsa Covid-19 yang sedang menerima rawatan di PKRC Kelantan ketika ini.

Katanya, sumbangan itu amat membantu pesakit sekali gus untuk lebih bersemangat melawan Covid-19.

Iklan

"Kita mahu rantaian Covid-19 ini diputuskan sebaik mungkin bagi memastikan jangkitan itu berjaya dikurangkan," katanya.

Dr Azman berkata, pihaknya sentiasa mengingatkan pesakit Covid-19 supaya mendaftar menerusi aplikasi Mysejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin termasuk hebahan secara berkala.

Menurutnya, walaupun mereka (pesakit) hanya boleh mendapatkan suntikan antara tiga hingga enam bulan selepas terkena jangkitan namun pendaftaran perlu dilakukan segera.

"Bagaimanapun, ada yang sudah berbuat demikian lebih awal, kami hanya membantu mereka yang masih belum mendaftar," katanya.