WARTAWAN didefinisikan sebagai orang yang menulis berita atau rencana untuk suratkhabar dan majalah.
Tafsiran tersebut cukup untuk menerangkan makna ringkas yang boleh diperoleh daripada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mungkin sudah sampai masanya Dewan Bahasa memurnikan makna wartawan dalam konteks semasa yang tidak hanya tertumpu maksudnya dalam medium konvensional semata-mata.
Sebagai usaha bagi mengiktiraf peranan pengamal media di Malaysia, Hari Wartawan Nasional (Hawana) telah diperkenalkan dan tarikh 29 Mei dipilih untuk memperingati jasa wartawan yang turut menjadi tunjang dalam memacu hala tuju negara.
Simboliknya pengiktirafan ini, tarikh yang dipilih adalah bersempena dengan penerbitan akhbar Utusan Melayu Edisi Pertama pada tahun 1939.
Walaupun Utusan Melayu kini telah berkubur namun semangat juang wartawan tidak pernah luntur. Ini dibuktikan dengan survival wartawan akhbar-akhbar arus perdana yang sudah beralih ke landasan baharu.
Organisasi media terus mengorak langkah, mengikut arus dan kehendak semasa bagi memenuhi tuntutan informasi di hujung jari.
Segala-galanya menjadi pantas dan wartawanlah nadi penggerak mengerah keringat dan sanggup berkorban demi menyajikan halwa mata dan telinga yang diperlukan masyarakat.
Ledakan teknologi dan media baharu dilihat telah mencabar profesi kewartawanan itu sendiri.
Etika kewartawanan yang sekian lama disantuni oleh pengamalnya walaupun masih terus dipraktikkan kadangkala terpaksa disesuaikan mengikut keadaan walaupun tidak sunyi daripada tempelakkan semborono ‘wartawan’ warga (Netizen).
Lihat sahaja perjuangan wartawan sewaktu pandemik Covid-19. Mereka memperjudikan nyawa mereka walaupun setiap saat diancam bahaya.
Sewaktu kita semua sedang mengharungi pandemik yang parah. Mereka tetap keluar mencari berita. Ternyata semua usaha ini memerlukan komitmen yang tinggi.
Tanggungjawab wartawan tidak pernah berubah walaupun banyak cabaran yang kian menerjah.
Ini kerana pada zaman yang serba canggih ini kualiti dan kredibiliti berita sentiasa dipersoal.
Sememangnya tidak dinafikan bahawa kehadiran media baharu menjadi penggerak serta membantu wartawan menyampaikan berita dengan cepat.
Namun harus juga diakui bahawa persaingan daripada wartawan klon sentiasa mencabar profesionalisme wartawan arus perdana.
Terlalu banyak wartawan klon yang ingin mengambil tempat wartawan profesional.
Bagaimana kita hendak membezakan antara wartawan klon dan wartawan profesional?
Yang klon itu kebiasaannya memutarbelitkan fakta sehingga kadangkala melangkaui sensitiviti dan lupa kepada aib yang perlu dijaga manakala wartawan profesional itu menonjolkan apa yang sepatutnya berpandukan kepada prinsip dan etika dalam menyampaikan maklumat yang diperlukan oleh masyarakat.
Perlu di ingat bahawa kuasa menulis datang bersama tanggungjawab yang asalnya untuk mendidik, memberi informasi serta objektif dalam melaporkan.
Hanya wartawan sejati yang tahu erti tanggungjawab dalam setiap laporan dan penulisannya.
Jika sekarang banyak gerbang berita dalam talian yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan, ia masih belum dapat menandingi kepercayaan masyarakat yang mahu bersandarkan serta menjadikan media arus perdana sebagai rujukan rasmi.
Apatah lagi dalam era globalisasi ketulenan berita selalu dimanipulasikan oleh wartawan klon yang hanya tahu memikir untung dan kepuasan sendiri.
Wartawan adalah nadi masyarakat. Perisainya adalah prinsip dan kiblatnya adalah kebenaran. Ia akan kekal begitu.
Perjuangan wartawan akan tetap hidup selagi mana bumi ini berputar. Mungkin kaedahnya berbeza tetapi matlamatnya tetap sama.
Walau diasak kiri dan kanan, walau terpaksa mengharungi peritnya mentari dan sejuknya hujan itulah erti sebuah pengorbanan.
Biarpun wartawan masih bergelut dengan isu kebebasan media.
Namun dalam sempitnya ruang banyak sekali peluang yang berjaya diteroka.
Kerana merekalah kita tahu apa yang tersirat dan kerana mereka jugalah kita selalu dapat membuat pertimbangan dan melihat realiti kehidupan dari kaca mata seorang wartawan.
Kesampingkan isu-isu picisan. Lihatlah apa yang telah banyak mereka sumbangkan.
Selamat Hari Wartawan Nasional 2021. Hiduplah kalian dalam rahmat dan kasih sayangNya.
Teruskan perjuangan mendidik masyarakat biarpun kalian adalah wira yang tidak didendang.
* Dr Wan Hartini Wan Zainodin ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam