Pura-pura jadi pelanggan sebelum larikan barang kemas

Iklan
Seorang lelaki ditahan ketika cuba melarikan barang kemas di sebuah premis di Jalan Kebun, Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM - Taktik seorang lelaki yang berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan barang kemas hanya mengundang padah apabila diberkas pemilik premis dalam kejadian di Jalan Kebun, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu suspek bertindak melarikan seutas jam tangan dengan dua utas rantai emas bernilai kira-kira RM22,996.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, kejadian itu disedari pemilik premis yang kemudiannya menahan suspek ketika cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal.

"Berlaku pergelutan antara mereka sebelum pemilik premis dibantu orang awam berhampiran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, suspek berusia 20 tahun kini direman empat hari sehingga 1 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan segera untuk tindakan susulan," katanya.

Iklan

Sebelum itu tular beberapa rakaman video di Twitter memaparkan orang awam menahan seorang lelaki di sebuah lokasi perniagaan.