SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menafikan terdapat unsur pembelian panik dalam kalangan pengguna di sekitar Lembah Klang susulan pengumuman pelaksanaan 'total lockdown' Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa ini.
Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, kesesakan ini dikesan pihaknya di beberapa pasar raya khususnya pada waktu pagi.
Menurutnya, hanya segelintir sahaja membeli barangan dalam jumlah yang banyak namun masih terkawal.
"KPDNHEP telah membuat pemantauan di beberapa bandar-bandar besar di sekitar Perak, Lembah Klang, Johor serta Pulau Pinang dan mendapati jumlah kehadiran di pasar raya masih terkawal.
"Sejak pagi tadi (Sabtu) tular beberapa keping gambar pelanggan beratur untuk membeli barangan keperluan di beberapa buah pasar raya di seluruh negara.
"Situasi pelanggan beratur panjang di pasar raya itu berdasarkan hasil laporan yang diterima disebabkan pasar raya mengehadkan bilangan pelanggan dalam sesuatu masa selain cuti hujung minggu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, pemerhatian KPDNHEP mendapati rata-rata pembeli membeli barangan keperluan dalam jumlah yang memadai dan mencukupi.
Katanya, tidak semua tempat mengalami situasi seperti yang tular di media sosial.
"Situasi berpusu itu berlaku di sesetengah tempat pada waktu pagi namun menjelang tengah hari keadaan kembali pulih," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Ahad di sebuah pasar raya di Setapak mendapati ada pelanggan yang sanggup beratur panjang bagi mendapatkan barangan keperluan harian mereka sebagai persediaan pelaksanaan 'total lockdown'.
Seorang pekerja swasta yang ditemui, Izwani Nadzri, 45, berkata, beliau hampir membatalkan hasratnya untuk masuk ke pasar raya itu sebaik melihat barisan panjang namun terpaksa akur untuk berada dalam barisan memandangkan kebanyakan keperluan harian di rumahnya sudah kehabisan stok.
"Biasanya datang ke sini terus masuk dan tidak perlu beratur tetapi hari ini (Sabtu) kena tunggu giliran pula. Masa beratur nampak macam ramai tapi bila dah masuk keadannya lengang.
"Saya lihat tiada pembelian panik berlaku mungkin sebab sebelum ini sudah ada pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jadi orang membeli hanya mengikut keperluan, barang dirak juga penuh tiada yang habis, semuanya ada," katanya.