200 OKU bakal terima vaksin sehari di PPV MAB

Iklan
Rina beramah mesra dengan sebahagian OKU Penglihatan ketika hadir melihat persiapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus untuk komuniti OKU Penglihatan di Kompleks MBA, pada Sabtu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus bagi orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields akan mula beroperasi pada minggu kedua Jun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penyediaan PPV itu bagi memudahkan golongan OKU penglihatan menerima vaksin, sekali gus mempercepatkan proses vaksinasi kepada 80 peratus populasi rakyat negara ini.

Iklan
Iklan

Sehingga kini, seramai 1,300 OKU penglihatan telah mendaftar dengan MAB dan akan menerima vaksin di PPV itu.

"PPV di MAB ini, dijangka berupaya mengendalikan proses suntikan kepada 200 orang setiap hari yang akan dikendalikan oleh 20 petugas termasuk doktor, paramedik dan sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Iklan

"Ini antara inisiatif kementerian bersama persatuan OKU, untuk memastikan tiada siapa yang dipinggirkan daripada menerima vaksin khususnya golongan istimewa ini," katanya kepada media selepas meninjau persediaan PPV itu pada Sabtu.

Menurut Rina, usaha seumpama itu akan diperluaskan ke negeri lain untuk meningkatkan akses pemberian vaksin kepada semua golongan OKU di seluruh negara.

Iklan

Jelasnya, kementerian itu dan MAB akan berbincang untuk berdasarkan keperluan bagi meneruskan operasi PPV itu kepada semua OKU lain, selepas semua individu OKU penglihatan selesai divaksin.

"Kementerian juga melalui JKM telah menghantar nama dan butiran 446,000 OKU berdasarkan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa Kedua," katanya.

Dalam pada itu, Rina turut menyerahkan 500 Bakul Makanan kepada MAB untuk diagihkan kepada OKU penglihatan, sebagai persediaan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan. - Bernama