GOMA - Pemerintah Republik Demokratik Congo (DRC) pada Sabtu mengesahkan ancaman letusan gunung berapi kedua di negara itu sebagai amaran palsu selepas kira-kira 400,000 penduduk diarah berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.
Jurucakap kerajaan berkata, gunung berapi Murara meletus pada intensiti yang rendah dan lava yang dimuntahkannya hanya mengalir di kawasan tidak berpenghuni di Taman Perlindungan Hidupan Liar Virunga.
Iklan
Iklan
"Sebuah pesawat yang terbang sekitar kawasan itu turut membuat pengesahan tersebut. Tiada letusan berlaku," ujarnya.
Pusat Pemerhati Aktiviti Gunung Berapi Goma (OVG) menerusi laporan terbaharu mereka menyatakan kira-kira 61 gegaran direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Difahamkan, Murara yang terletak 25 kilometer di utara Goma, wilayah Kivu Utara adalah gunung berapi kecil kepada Nyamuragira yang turut dianggap aktif seperti Nyiragongo yang meletus pada minggu lalu sehingga menyebabkan kemusnahan harta-benda yang besar.
Sebelum ini, saintis memberi amaran bencana berpotensi jika lava mengalir ke tasik yang akan menghasilkan gas berbahaya di kawasan penempatan penduduk.
Pada Jumaat, Presiden Rwanda, Paul Kagame memaklumkan kesemua penduduk yang terpaksa berpindah itu memerlukan bantuan segera komuniti antarabangsa. - AFP