PUSING-pusing di pekan Semenyih, akhirnya jumpa. Destinasi? Sebuah kedai gunting rambut lama dalam pekan Semenyih.
Dari luar kelihatan seperti biasa, sama seperti kedai gunting rambut lain. Pintu dibuka, seorang lelaki muda berkemeja, agak bergaya menyapa.
"Silakan masuk bang, nak gunting rambut ke?” tanyanya.
"Eh tidak, kami datang nak buat berita,” jawab penulis.
"Boleh, boleh, tiada masalah,” kata lelaki tersebut, T Rajendran, 30an seakan sudah menduga niat penulis ke kedainya.
Keadaan dalam kedai kemas, di hujungnya ada televisyen lama, tempat istirahat barangkali tetapi bukan itu menarik perhatian penulis.
Kiri kanan kedai penuh gambar lama, gambar pemimpin negara malah foto Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat pun ada.
Gambar Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri keempat ada, ketujuh pun ada.
Itu belum lagi gambar muda Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Semuanya disusun rapi, dibalut elok, digantung di dinding. Terpegun penulis melihat satu-persatu gambarnya. Oh, gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa muda pun ada.
"Abang, ada orang nak jumpa,” jerit Rajendran sekaligus membantutkan keterujaan penulis menghayati foto-foto tersebut.
"Ya adik, apa boleh saya bantu,” sapa N Anparasa, 61.
Warga emas itu kelihatan agak terkejut dengan kehadiran Sinar Harian.
Mungkin dia tidak menyangka wartawan singgah ke kedainya yang sudah beroperasi selama 20 tahun.
"Mana tahu kedai saya?” soalnya.
"Kami tahu dari Facebook calon PRK Semenyih,” jawab penulis.
"Ini hobi saya, dah lama saya simpan gambar pemimpin. Ada gambar dah 20 tahun saya simpan. Semuanya gambar pemimpin Malaysia dan luar negara.
"Dulu kalau dapat saja gambar, saya terus simpan. Bila kumpul-kumpul, dah banyak macam sekarang. Rasanya lebih 200 keping gambar saya simpan,” ceritanya.
Bapa seorang anak itu kemudian menceritakan kisah sebalik gambarnya. Ada diperoleh semasa bekerja dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), ada semasa kempen pilihan raya.
Mana yang menepati minatnya, semua disimpan. Katanya, gambar pembangkang atau kerajaan, semua dia simpan.
"Ini hobi saya, saya tak belah mana-mana pihak, semua gambar saya simpan,” ujarnya.
Disebabkan gambar itu juga, ramai pelanggan bertanya kenapa dia sungguh bersemangat simpan gambar sebegitu.
"Satu saja saya cakap, ini hobi saya. Saya simpan semua, tak kira pembangkang atau kerajaan,” katanya.
Hampir 30 minit di dalam kedai, hampir semua gambar Anparasa tunjukkan kepada Sinar Harian. Dalam ratusan gambar, ada sekeping gambar paling disayanginya.
Letaknya di belah atas, berhampiran pintu kedai, berbingkai emas. Rupanya, ia adalah gambar empat perdana menteri terawal Malaysia bermula dari Tunku Abdul Rahman kepada Dr Mahathir.
"Susah nak dapat gambar itu,” katanya."Gambar lain sayang juga tapi ini paling istimewa, tak boleh dapat dah sekarang.”
Sebelum mengakhiri bicara, Anparasan menyimpan hasrat pemimpin negara singgah ke kedainya itu.
"Mestilah, kalau boleh nak mereka datang. Saya nak minta mereka ‘sign’ gambar,” ujarnya.