SEMENYIH - Orang Asli di kampung Sungai Lalang Baru, di sini, menyuarakan rasa rindu mereka terhadap pentadbiran BN yang disifatkan mereka lebih mengambil berat perihal kebajikan kaum minoriti itu.
Tok Batin di kampung berkenaan, Aleh Abdullah, 53, berkata, sepanjang beliau menjadi ketua di kampung itu, sejak 90-an sehingga kini, apa yang boleh dia simpulkan adalah pentadbiran BN lebih baik.
Dakwanya, ketika BN memerintah kerap kali pemimpin dan bantuan sampai kepada mereka.
"Yang dahulu kerajaan (BN) bantuan diberi kepada semua.
"Kalau BN dahulu mereka sering datang bertanyakan apa masalah penduduk kampung, apa yang perlu dibuat program," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Aleh mendakwa, semasa PH memerintah mereka hanya memberikan bantuan kepada golongan Orang Asli terpilih seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.
Sementara mengulas mengenai masalah yang masih membelenggu Orang Asli, Aleh berkata, Isu pemilikan tanah, air, dan jalan raya menjadi isu utama di kebanyakan penempatan kampung Orang Asli.
Sementara itu menurut, Nursyuhada Idi Ahmad, 27, turut berpandangan sama.
Dakwanya BN, dari segi menjaga kebajikan Orang Asli memang baik, kerana selalu turun padang untuk mendengar permasalahan mereka.
"Kalau BN selalu datang tengok kampung bawalah bantuan sekali sekarang satu pun tiada.
"BN lebih prihatin, mereka faham masyarakat kami," katanya lagi.