DATA masih menunjukkan penyebaran Covid-19 masih sangat tinggi.
Ketika rencana ini ditulis, pada Selasa misalnya, tahap jangkitan sehari menunjukkan lebih 7,000 kes.
Khalayak mula marah dengan ketidaktentuan itu, bukan sangat kepada usaha kerajaan menangani pandemik tetapi lebih kepada pelaksanaan yang menzahirkan dua darjat berbeza.
Sama ada ia benar atau tidak adalah perkara kedua tetapi itulah persepsi masyarakat.
Petugas barisan hadapan telah menjalankan khidmat mereka dengan cemerlang.
Meletakkan keselamatan negara melebihi keselamatan diri sendiri.
Rakyat Malaysia wajib memberi penghargaan terhadap usaha petugas barisan hadapan.
Tanpa khidmat anda, sudah pasti negara akan menjadi lebih parah.
Sejak awal pandemik lagi, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan bagi menghadapi pandemik.
Tidak sedikit wang ringgit yang dibelanjakan bagi tujuan tersebut.
Kakitangan awam dan swasta bertungkus-lumus mencari ikhtiar mensejahterakan negara bebas daripada Covid-19.
Saya sangat menghargai usaha yang dilakukan itu.
Namun, satu aspek yang mungkin kita terlupa adalah aspek kerohanian.
Walaupun kita berusaha gigih dengan pelbagai tindakan, jika kita tidak meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Yang Maha Pencipta, pasti usaha kita tidak akan diberkati.
Saya tidak biasa mendengar program munajat dilakukan bagi meminta pertolongan daripada ALLAH SWT membantu kita memerangi pandemik.
Walaupun mungkin kita tidak dapat melakukannya dengan berkumpul secara fizikal, ia masih boleh dilakukan dengan teknologi moden.
Begitu juga saya perhatikan di media arus perdana, masih tidak menumpukan aspek kerohanian.
Rata-rata program di televisyen dan radio masih tidak berubah.
Pada pandangan saya, eloklah diperbanyakkan bacaan al-Quran, pengkisahan hadis nabi berkaitan pandemik atau menambahkan ketakwaan dan banyak aspek lagi.
Pendekatan keagamaan mesti dilakukan bagi mendapat keberkatan ALLAH SWT.
Di sinilah kita dapat lihat perbezaan pendekatan yang dilakukan beberapa negara luar dalam isu keagamaan ini yang mungkin kita boleh pelajari.
Begitu juga dalam ucapan-ucapan pemimpin, bukan tidak ada tetapi kurang dilihat berpaut kepada kekuasaan ALLAH SWT Tuhan sekalian alam.
Agamawan dan alim ulama perlu mengembleng daya dan usaha mendekatkan pemimpin, masyarakat serta orang awam kepada ALLAH SWT bagi memerangi pandemik.
Begitu juga kisah yang dapat mencuit keinsafan manusia supaya reda kepada ketentuan ALLAH SWT dan berusaha mencegah kemungkaran termasuklah pandemik ini.
Keinsafan
Bukanlah saya kata tiada program sedemikian tetapi amat nadir.
Kebetulan pagi Selasa lalu, barulah saya mendengar di sebuah stesen radio kisah bekas pesakit Covid-19 tahap lima yang menceritakan pengalamannya sehingga ditidurkan akibat Covid-19.
Kisah sebegitu dapat mendatangkan keinsafan kepada pendengar walaupun pengacaranya lazim bersantai dan melawak dalam rancangan mereka. Syabas saya ucapkan kepada stesen radio berkenaan.
Usaha memerangi Covid-19 perlu diteruskan tetapi ia tidak harus hanya diletakkan kepada petugas barisan hadapan.
Kita semua perlu berperanan dalam apa juga bidang kita ceburi.
Elemen kerohanian sangat penting untuk kita terapkan. Tidakkah kita utuh mempercayai konsep ‘kun fayakun’ sebagaimana ALLAH nukilkan dalam al-Quran?
Tidakkah ALLAH telah berfirman yang bermaksud:"Mereka merancang dan ALLAH merancang, maka rancangan ALLAH adalah rancangan yang terbaik?” (Aali Imran: Ayat 54)
Ayat itu mengajar kita bahawa tidak semua yang kita rancang akan menjadi.
Janganlah sampai kita mengeluh dengan apa yang berlaku, berputus asa dan menyesal.
Dalam apa pun yang kita lakukan dalam kehidupan, kita mestilah mempunyai panduan.
Panduan sebenar adalah tunduk kepada ALLAH SWT.
Oleh demikian, tiadalah jalan lain dalam menghadapi ujian ALLAH, selain mendekatkan diri kepada-Nya juga.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.