GLC bukan habuan orang politik

Iklan
Muka depan Sinar Harian pada Khamis.

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan memecat Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad bukan sahaja mendapat sokongan daripada rakyat jelata, malah mereka mengharapkan langkah yang sama dilakukan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.

Sama ada dalam media-media sosial, atau platform digital yang lain, ramai memuji tindakan pantas dan berani Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamatkan perkhidmatan warlord UMNO itu.

Iklan
Iklan

Ramai yang berpendapat Perdana Menteri patut mengambil momentum itu untuk turut mengganti lantikan politik lain seperti pengerusi dan ahli lembaga pengarah (ALP) dalam GLC yang tidak kompeten dengan mereka yang lebih layak dan profesional.

Sebagai contoh, lantikan politik dalam anak-anak syarikat GLC yang besar dan berpengaruh seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang kini menjadi bualan ramai perlu juga dilihat dengan mendalam oleh Perdana Menteri.

Iklan

Pelantikan orang politik dalam anak-anak syarikat Mara misalnya yang menyaksikan hanya individu tertentu menguasai sehingga tujuh atau lapan anak syarikat mencetuskan kebimbangan dan keresahan ramai.

Ia kerana GLC seperti Mara selayaknya diketuai oleh profesional atau pakar yang memahami tentang pelaburan dan kehendak pasaran tetapi penglibatan orang politik dan aktivis parti hanya akan menjejaskan reputasi agensi-agensi berkenaan.

Iklan

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, wajar untuk GLC bebas daripada pengaruh politik bagi memastikan pakar atau profesional dalam bidang berkaitan dilantik menerajui syarikat kerajaan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang politik didakwa kuasai Mara

Selain itu katanya, ia bagi mengelak atau meminimumkan konflik kepentingan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen harus diberi tanggungjawab menilai setiap pelantikan berdasarkan kelayakan.

"Rakyat juga cuba memahami keperluan kerajaan untuk melantik ahli Parlimen dalam GLC walaupun Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 telah melarang hal ini.

"Jika kerajaan hendak juga melantik mereka, perlu untuk kerajaan menyediakan ‘perjanjian khas’ antara ahli Parlimen atau ahli politik yang bakal dilantik itu dengan GLC/GLiC berkenaan agar mereka hanya menjalankan tugas sebagai pengerusi bukan eksekutif.

"Mereka tidak mencampuri sebarang urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan urusan perolehan serta tidak boleh menggunakan peruntukan syarikat untuk program tanggungjawab sosial korporat di kawasan Parlimen mereka.

Muka depan Sinar Harian pada hari ini.

"Gaji dan kemudahan yang diberikan juga mesti tidak keterlaluan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

NACP 2019-2023 yang dibuat ketika zaman pemerintah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menetapkan ahli Parlimen tidak boleh dilantik memegang jawatan dalam GLC. Larangan itu terkandung dalam pelan setebal 84 muka surat tersebut.

Idea asal pelan itu tercetus semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana PH memberikan penekanan kepada usaha memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

Budaya politik Malaysia

Sebaik PRU14 selesai, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Jun 2018 memutuskan bahawa satu pelan antirasuah yang menyeluruh perlu dirangka dengan segera untuk menangani isu berkaitan rasuah di negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, lantikan politik sudah menjadi sebahagian daripada budaya politik di negara ini.

Namun katanya, pendekatan itu boleh diubah dengan memastikan orang politik yang ingin dilantik itu benar-benar sesuai dan layak memegang jawatan tersebut.

"Kalau diikutkan, wajar individu yang ingin dilantik menerajui GLC adalah daripada golongan profesional supaya dapat tingkatkan daya saing serta beri nasihat yang sewajarnya.

"Kita juga tidak boleh lari bahawa dalam politik, pelantikan politik (dalam GLC) ialah sebahagian budaya politik.

"Itu perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana kerajaan tetapi kita mungkin boleh ubah dengan memastikan individu yang ingin dilantik itu benar-benar layak.

"Bagaimanapun, kita tidak dapat nafikan ahli-ahli politik yang dilantik dalam GLC lebih banyak memberi liabiliti berbanding aset, namun kita juga perlu akui ada juga antara mereka yang memberi sumbangan memperkasa lagi syarikat yang diwakili itu,” katanya.

Ahmad Marthada Mohamed

Menurut beliau, sudah tiba masanya kerajaan menetapkan kuota memberi keseimbangan antara orang politik dan golongan profesional dalam GLC.

"Langkah ini perlu supaya ahli politik yang mempunyai kelebihan dalam politik mendapat nasihat daripada golongan profesional untuk tadbir syarikat dengan baik.

"Kita tidak boleh membiarkan keputusan hanya dibuat oleh orang politik tetapi ia perlu disertai pandangan profesional yang pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.

Ahmad Marthada turut mengesyorkan agar kerajaan mengambil tindakan ke atas mana-mana pengerusi GLC yang terpalit dengan kontroversi supaya meletak jawatan dengan segera.

"Budaya ini berlaku di luar negara tetapi tidak di Malaysia, jadi sudah tiba masanya untuk kerajaan ambil keputusan memecat mana-mana pengerusi GLC yang terlibat,” katanya.

Jelas beliau, tindakan terhadap Tajuddin menjadi titik mula dan perlu dilakukan ke atas mana-mana pengerusi GLC yang terbabit kontroversi selepas ini.