'Total lockdown' dua minggu tidak memadai

Iklan
Pelaksanaan 'total lockdown' di seluruh negara selama dua minggu akan bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini.

SHAH ALAM - Pakar kesihatan menegaskan pelaksanaan 'total lockdown' di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini dinilai tidak mencukupi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Marzuki Isahak berkata, jangka masa yang diperlukan untuk menurunkan kes adalah sekurang-kurangnya enam minggu.

Iklan
Iklan

"'Total lockdown' untuk dua minggu memang tidak cukup. Kalau kita lihat kenyataan Perdana Menteri, ia tidak menyatakan PKP akan dilakukan dua minggu sahaja.

"Kalau ikut daripada segi epidemiologi, walaupun 'incubation period' Covid-19 adalah 14 hari, tidak semua kes akan datang dalam masa 14 hari yang pertama ini. Jadi sudah tentu dalam masa dua minggu ini PKP penuh tidak akan berakhir dan akan dilanjutkan lagi dua minggu hingga empat minggu.

Iklan

"Kalau tanya pakar kesihatan, kita akan mencadangkan sekurang-kurangnya sehingga enam minggu kerana dalam proses enam minggu itu biasanya baru nampak kesan terbaik," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebagai pakar perubatan kesihatan awam, beliau amat mengalu-alukan pelaksanaan 'total lockdown' melihat kepada kebaikannya dan faktor kesihatan yang semakin merudum.

Iklan

"Sebelum lockdown, tidak semua dapat menjaga pergerakan dan melakukan penjarakan sosial jadi 'lockdown' adalah penjarakan sosial terbaik secara paksa.

"Kedua, sekiranya sesiapa yang mempunyai penyakit Covid-19 tanpa mereka sedari, kita boleh menghadkan penyebaran tersebut. Apabila dia hanya duduk atau bekerja di rumah, kemungkinan untuk dia menyebarkan penyakit adalah rendah dan berisiko hanya kepada orang yang tinggal serumah dengannya.

"Jadi ini amat penting untuk faktor kesihatan walaupun kita tengok ekonomi menurun, tetapi sekiranya ia tidak dilakukan, lebih banyak kes kematian, kes naik dengan varian baharu dan kes ekonomi juga tidak boleh pulih seperti biasa. Oleh itu, lebih baik kita 'lockdown' dahulu," katanya.

Tambahnya, antara perkara yang membimbangkan ketika ini adalah terdapat banyak varian baharu yang berkemungkinan mempunyai jangka masa lebih panjang daripada varian lama untuk menjangkiti mangsa-mangsanya.

"Varian baharu ini mungkin ambil tempoh lebih 14 hari dan bila ada pesakit yang terkena varian baharu ini, jangka masa untuk pulih atau keluar dari risiko untuk menjangkiti orang itu lebih lama berbanding varian yang sebelum ini," katanya.

Oleh itu katanya, penambahbaikan yang perlu dibuat berbanding PKP sebelum ini adalah membuat ujian saringan kepada semua individu.

"Kedua, kita kena mempercepatkan vaksinasi. Vaksinasi ini satu-satunya perisai yang kita ada. Jadi semasa PKP ini kita ambil peluang. Kes memang akan menurun kerana 'lockdown' dan dalam masa yang sama kita perlu pertingkatkan pertahanan kita dengan mempercepatkan vaksinasi," katanya.

Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr Adlina Suleiman pula berkata, dua minggu untuk PKP adalah tidak memadai melainkan terdapat penambahan langkah-langkah pencegahan membendung peningkatan kes.

"Kes memang dah banyak jadi tak boleh berharap hanya pada 'lockdown' semata-mata. Jika 'lockdown' dua minggu saya rasa ia tidak akan memberi kesan terhadap penurunan kes melainkan ia dilakukan bersama inisiatif lain.

"Contohnya, dalam tempoh dua minggu ini, kita dapat vaksinkan ramai orang dengan kapasiti 150,000 orang sehari dan sejuta orang dalam masa dua minggu. Ini termasuklah semua barisan hadapan seperti penghantar makanan, orang yang jaga kaunter dan pekerja kilang.

"Set kan satu 'komuniti kuarantin dome' di mana ada kluster atau kes yang banyak, dia kuarantin di dalam rumah sahaja. Jika mereka duduk di rumah, hanya orang yang berada di dalam rumah yang sama yang terdedah atau berisiko," katanya.

Dr Adlina turut bimbang dengan usaha kerajaan jika tidak mengambil apa-apa pengajaran semasa pelaksanaan penuh PKP tahun lalu.

"Rakyat perlu diberitahu secara terperinci supaya kesannya orang ramai tidak panik membeli barang hari ini dan mungkin mewujudkan kluster baharu. Walaupun ada penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka, kita tidak boleh elak kerana akan adanya pengumpulan orang ramai membeli barang keperluan sebab 'lockdown'.

"Isunya bukan durasi waktu PKP tapi banyak faktor selepas itu yang kita perlu pertimbangkan. Ianya subjektif bergantung kepada situasi," katanya.