[DIKEMASKINI] KAI Havertz membuktikan pembeliannya berbaloi apabila meledak jaringan tunggal babak pertama untuk membolehkan Chelsea bergelar juara Liga Juara-Juara selepas menewaskan Manchester City 1-0 pada perlawanan akhir di Estadio do Dragao, Porto awal pagi Ahad.
Pemain muda Jerman itu tampil memanfaatkan hantaran Mason Mount pada minit ke-42 untuk menewaskan penjaga gol Manchester City, Ederson sekaligus membawa pulang trofi kejuaraan berprestij kelab bola sepak Eropah tersebut ke Stamford Bridge.
Tampil sebagai pasukan pilihan, Manchester City kendalian Pep Guardiola yang tampil segar dengan formasi 433 selepas menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini gagal menyaingi disiplin tinggi 3421 dalam kalangan anak buah Thomas Tuchel pada perlawanan itu.
Kelab London tersebut yang mendapat semangat baharu sejak Januari lalu itu mempunyai beberapa peluang menarik melebarkan jaringan, namun Timo Werner gagal menterjemahkannya dalam bentuk jaringan.
Kelab bandaraya Manchester yang diambil alih jutawan dari Abu Dhabi pada 2008 tersebut juga berpeluang menyamakan kedudukan pada perlawanan itu, namun volley Riyad Mahrez pada babak kedua melewati palang gol lawan.
Biarpun mengakhiri saingan liga di kedudukan keempat ditinggalkan jauh 19 mata di belakang Manchester City, kejayaan Chelsea yang ditransformasikan sejak 2003 membawa pulang trofi untuk kali kedua ke London juga meneruskan momentum positif kemenangan ketiga The Blues terhadap The Citizens dalam tempoh enam minggu.
Kejayaan kelab milik Roman Abramovich mendakap kejuaraan tersebut mengamit kembali memori pada 2011/12 sekaligus menjadi pasukan Inggeris ketiga selepas Liverpool (2004/05, 2018/19) dan Manchester United (1998/99, 2007/08) berada di kelas tertinggi kelab Eropah itu.