KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu menjalankan penyelidikan terhadap varian baharu yang disifatkan semakin mengganas.
Menurut Pakar Kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, sehingga kini belum terdapat bukti menunjukkan varian baharu Covid-19 menyebabkan tahap keparahan tinggi terhadap pesakit.
"Sehingga hari ini walaupun varian ini tahap berjangkit lebih tinggi, tetapi pada masa kini belum ada bukti varian ini menyebabkan penyakit (gejala) lebih serius dan berbahaya.
"Tahap keparahan pesakit pada masa sekarang, belum lagi terbukti ia lebih tinggi kadar kematiannya.
"Kita masih ada ruang perbaiki keadaan walaupun berlaku varian baharu," katanya ketika ditemu bual pada Sabtu.
Tambahnya, penyelidikan lebih mendalam perlu dilakukan segera bagi mendapatkan data mengenai varian baharu itu.
"Saya cadangkan KKM bersama KPT melakukan penyelidikan apakah varian baharu ini menyebabkan tahap keparahan tinggi dan hasil daripada penyelidikan mendapati infeksi varian baharu ini.
"Tiga pihak harus terlibat -- doktor daripada KKM; kedua, makmal yang berkapasiti melakukan ujian genetik; ketiga, mereka yang berada di lapangan seperti pakar kesihatan awam yang mempunyai data pesakit yang mereka telah kesan.
"Ketiga-tiga data ini harus dikumpulkan untuk penyelidikan bagi melihat adakah varian baharu ini menyebabkan berlaku peningkatan tahap kematian," katanya lagi.
Sehingga kini, jumlah kumulatif kes kematian di negara ini adalah 2,650 dengan kes tertinggi dicatatkan semalam dengan 98 kematian. - Astro Awani