PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel memberikan bayangan bahawa akan ada pengumuman rasmi berhubung lanjutan kontraknya setelah membantu The Blues merangkul trofi Liga Juara-Juara musim ini.
Menurut Tuchel, pengumuman berkenaan dijangka dibuat dalam masa terdekat yang sekali gus bakal menyaksikan lanjutan terhadap kontrak asalnya selama 18 bulan di Stamford Bridge sebelum ini.
"Saya sendiri tidak pasti dengan pengumuman berkenaan, tetapi saya yakin akan ditawarkan kontrak baharu oleh Chelsea.
"Saya juga telah bercakap dengan pemilik kelab di padang selepas perlawanan. Namun pertemuan itu tidak ada menjanjikan apa-apa setakat ini.
"Apa pun, saya yakin pengumuman mengenainya akan tetap juga dibuat dan saya rasa semua orang juga menantikannya,” katanya.
Chelsea menewaskan Manchester City 1-0 pada aksi final Liga Juara-Juara pada awal pagi Ahad hasil jaringan Kai Harvertz pada minit ke-42.
Gol tunggal pemain berusia 21 tahun itu sudah cukup untuk memastikan The Blues mengulangi kejayaan musim 2011/12 lalu.
Malah gol berkenaan dilihat sebagai jaminan bagi Tuchel untuk terus berada di Stamford Bridge sekurang-kurangnya hingga musim 2023 kelak setelah menggantikan Frank Lampard, Januari lalu.
Sementara itu Tuchel mengakui dirinya semakin bersemangat untuk terus mengemudi Chelsea dalam usaha meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.
Katanya, dengan barisan pemain muda yang dimiliki ketika ini, skuad The Blues itu sememangnya mampu untuk merealisasikan kejayaan berkenaan.
"Keazaman saya ketika ini adalah untuk melakar lebih banyak kejayaan selain memperbaiki diri selaku jurulatih yang baik pada masa hadapan," katanya.