Dua perkara untuk selesaikan krisis negara

Iklan

SAYA ingin mencadangkan dua perkara yang harus dilakukan serta merta dengan berkuat kuasanya sekatan penuh ke atas semua kegiatan ekonomi dan sosial pada 1 Jun 2021.

Perkara pertama ialah penyediaan bantuan yang menyeluruh. Perkara kedua ialah keperluan mengatur pasukan yang cekap, pantas dan yang sayangkan rakyat dan negara.

Iklan
Iklan

Pertama, Kerajaan harus memberi bantuan sepenuhnya kepada rakyat, terutamanya yang bekerja sendiri seperti Makcik Kiah, syarikat kecil dan sederhana, dan mereka dalam golongan B40 dan M40.

Sudah setahun Covid-19 melanda, dan segala simpanan semuanya telah kering. Usah kita lupa, rakyat telah mengeluarkan duit mereka sendiri hampir RM80 bilion dari EPF, dan menangguhkan bayaran hutang melalui ‘loan moratorium’ sejumlah RM151 bil.

Iklan

Ini jauh lebih tinggi dari bantuan yang diterima dari kerajaan, untuk pembandingan, suntikan fiskal kerajaan sejak krisis ini berlaku sejak awal tahun lepas adalah hanyalah RM 72 bilion.

Saya ingin mencadangkan supaya semua pekerja sendiri dan isi rumah dalam golongan B40 dan M40 diberikan bantuan bulanan sebanyak RM1500 sebulan untuk tempoh 3 bulan.

Iklan

Manakala, subsidi upah diberikan kepada syarikat- syarikat kecil dan sederhana seperti mana yang diberikan pada tahun lepas, juga untuk tempoh tiga bulan. Pinjaman daripada bank dan agensi kredit harus diberikan moratorium untuk tempoh 3 bulan, secara automatik.

Bank tidak akan jatuh muflis. Hakikatnya tidak ada satu bank pun yang rugi tahun lepas walaupun moratorium pinjaman diberikan.

Kenyataan pihak Bank Negara Malaysia bahawa moratorium pinjaman bukan penyelesaian terbaik untuk semua peminjam dan bukanlah kepentingan terbaik ekonomi negara amatlah memeranjatkan sekali.

Apa gunanya ekonomi berkembang jika setiap hari berpuluh rakyat Malaysia mati, dan beribu-ribu hidup dalam tekanan dan kebimbangan kerana tidak mampu menyara keluarga? Ekonomi boleh dipulihkan, tetapi nyawa yang sudah tiada, mustahil dapat dikembalikan.

Alasan bahawa kita tiada ada wang untuk membantu rakyat adalah zalim yang didasari pemikiran cetek. Kerajaan boleh meminjam. Kadar hutang kini lebih kurang 60% dari KDNK negara, namun negara pernah berhutang lebih 100% dari KDNK.

Peminjaman ini berlaku pada tahun 1980an apabila krisis ekonomi melanda negara dan kadar pengangguran naik mendadak ketika itu. Tetapi, kadar hutang ini dapat dikurangkan dengan pantas apabila ekonomi berkembang kembali.

Lebih baik berhutang untuk menyelamatkan rakyat, daripada menyimpan duit tetapi rakyat sengsara atau berdepan kematian. Prihatinkah Kerajaan kita?

Kedua, kita perlukan pasukan baru, yang bijak, berani, dan benar-benar sayang kepada rakyat dan negara. Malangnya, pasukan yang ada ketika ini gagal mentadbir negara.

Ketika darurat dimulakan pada 12 Jan 2021, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 141,533 kes, dan jumlah kumulatif kes kematian adalah 559 kes. Kini, jumlah keseluruhan jangkitan wabak naik empat kali ganda kepada 558,534 kes, dan jumlah korban melonjak hampir 5 kali ganda kepada 2,650.

Bagaimana ini boleh dibiarkan berlaku, apabila kita diyakinkan berulang kali bahawa Parlimen digantung untuk mengurangkan kes dan jumlah kematian?

Ingat apa yang dilakukan oleh Tun Razak selepas rusuhan kaum tahun 1969. Yang di-Pertuan Agong keempat iaitu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin dari Terengganu ketika itu, dengan bijaksananya, bersetuju menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Ianya dianggotai hanya oleh sepuluh orang sahaja, tidak perlu ahli seramai 72 orang. Ya, tiada Jemaah Kabinet pun ketika itu.

Yang mentadbir negara dengan jayanya hanyalah 10 orang sahaja, diketuai oleh Tun Razak, dan dibantu oleh Tun Dr Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Kadir Samsudin (Ketua Setiausaha Negara), Tunku Osman Jiwa (Panglima Angkatan Tentera), Tan Sri Saleh Ismail (Ketua Polis Negara), Tan Sri Ghazalie Shafie ( Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri) dan Lt. Gen. Dato' Ibrahim Ismail sebagai Ketua Eksekutif MAGERAN.

Kesepuluh ahli MAGERAN telah berjaya menstabilkan negara dalam masa yang amat pantas sekali.

Mereka menubuhkan hanya dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Ekonomi, dan Majlis Perundingan Nasional (MPN).

Ahli panel yang dilantik terdiri daripada penjawat awam, profesional sektor korporat, ahli akademik, agamawan dari pelbagai agama, wartawan, wakil majikan dan pekerja, dan wakil parti politik.

Almarhum Tun Razak mengamalkan sikap terbuka dan inklusif. Ianya berbeza dengan pasukan sekarang yang mengamalkan sikap terpencil dan berselindung dengan kurang berunding bersama pimpinan masyarakat dan mereka yang pakar dalam menangani krisis ini.

Anda tahu di mana MAGERAN bermesyuarat? Ya, di bangunan Parlimen. Hasilnya, pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13, Rukunnegara dilancarkan, dan setahun kemudian, Dasar Ekonomi Baru diterima pakai di dalam Rancangan Malaysia Kedua, dan Parlimen kembali bersidang.

Pasukan yang baru, seperti MAGERAN, dan ahli ahlinya harus diberi mandat yang jelas – tangani krisis kesihatan dan ekonomi, dan untuk memastikan ‘check and balance’, dan Parlimen harus dibuka untuk memastikan pentadbiran yang telus. Apabila mandat ini berjaya kelak, pasukan ini harus dibubarkan serta merta.

Malangnya negara bertuah ini jika mereka yang memerintah sekarang, dan individu yang terpaksa bersetuju menandatangani darurat, masih berpeluk tubuh apabila mayat rakyat Malaysia bergelimpangan di dalam kontena, dan ramai pula yang kebuluran.

Negara akan musnah, dan pemimpin jadong dan bebal seperti yang diingatkan kepada kita oleh Profesor Syed Hussein Alatas, akan dilaknati ALLAH. Menurut beliau antara ciri-ciri bebal adalah tidak mampu melihat dan menyelesaikan masalah dengan tidak mencerap apa yang berlaku dan tidak mengakui kebodohannya.

Institusi utama negara haruslah bertindak dan bersama rakyat. Suara rakyat suara keramat. Belajarlah sejarah, banyak negara menjatuhkan institusi monarki mereka apabila raja dilihat membelakangkan kepentingan rakyat.

Lupakah pimpinan negara akan sejarah rakyat kita sendiri yang pernah memberontak, menolak pemimpin yang zalim?

Orang Melayu pernah menggertak untuk menggulingkan Sultan mereka sendiri jika Sultan tidak menolak rancangan Malayan Union.

Pemimpin bukannya Dewa Raja atau Tuhan yang mesti disembah dan dituruti hasratnya setiap masa terutamanya jika mereka kejam, korup, dan tidak berlaku adil. Insaflah, kita harus membuang pemimpin sebegini.

Sultan Perak pernah mengingatkan kita beberapa bulan lepas bahawa orang yang tidak ikhlas, menyalahguna kuasa, bermoral rendah tidak harus diberikan amanah ataupun kuasa oleh rakyat, dan masa hadapan negara jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, atau sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri tanpa mengenal batasan.

Masa untuk bertindak adalah sekarang. Bantuan haruslah diberikan sekarang. Pemimpin yang baru diperlukan sekarang. Mereka yang memerintah haruslah sedar, kepentingan negara melebihi kepentingan individu. Kuasa harus digunakan untuk kebaikan negara, bukan untuk memusnahkannya.

Moga ALLAH melindungi kita semua, dan memberi petunjuk dan hidayah untuk ke arah jalan yang lurus.

* Dr. Muhammed Abdul Khalid ialah ahli ekonomi, dan pernah menjadi perunding kepada beberapa agensi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu pembangunan ekonomi.