IPOH - Pelaksanaan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial pada 1 Jun depan di seluruh negara perlu dijadikan peluang bagi golongan berkemampuan membantu mereka yang memerlukan.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, harus diakui terdapat rakyat yang terkesan secara langsung dengan kehilangan sumber pendapatan disebabkan penutupan sektor berkenaan terutama yang bergaji harian.
Menurutnya, keadaan itu merupakan ujian bukan sahaja kepada mereka yang terkesan tetapi juga buat mereka yang berpendapatan tetap serta tidak terkesan dengan pandemik tersebut.
"Begitu juga mereka yang mempunyai tabungan wang yang kukuh untuk sama-sama menghayati hadis Nabi SAW riwayat al Bukhari dan Muslim bermaksud tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri.
"Carilah saudara mara kita yang terdekat untuk kita mulakan memberi bantuan, jiran-jiran kita dan masyarakat sekeliling kita," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurutnya, antara langkah praktikal yang boleh dilaksanakan tanpa menunggu arahan mana -mana pihak ialah memperuntukkan beberapa peratus daripada gaji diterima khusus untuk membantu golongan memerlukan.
Jelas Zamri, selain itu, kemudahan infak secara online yang sangat mudah boleh digunakan untuk sampai kepada pihak yang dibantu.
"Bantulah dengan membeli barangan jualan yang ditawarkan dalam talian, tidak mengapa kita membayar lebih atau menghalalkan baki duit bayaran kita.
"Begitu juga dengan adik-adik penghantar makanan, bayarlah perkhidmatan mereka dan lebihkan bayaran untuk duit saku mereka. Sempurnakan iman kita dengan membantu," katanya.