JOHOR BAHRU - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, memberi kesan yang cukup mendalam kepada kira-kira 2,000 pemandu teksi di Larkin.
Pemandu teksi, Mohd Zamri Mahazan, 48, berkata, selepas mengharungi tempoh cukup mencabar sebelum ini, kini dia dan rakan-rakannya perlu berdepan tempoh sukar bermula Selasa ini berikutan pelaksanaan 'total lockdown'.
Katanya, sehingga hari ini sudah ramai rakannya 'menggantung kunci' sebagai pemandu teksi dan mereka kini melakukan pekerjaan lain demi menyara keluarga.
"Kami pemandu teksi di Larkin ini banyak bergantung kepada penumpang bas, kemasukan pengunjung dari Singapura selain mengambil penumpang di kawasan berhampiran.
"Sebelum ini kami terjejas teruk akibat pelaksanaan perkhidmatan penghantaran (e-hailing), kini kami berdepan rintangan yang lebih mencabar berikutan pelaksanaan PKP.
"Sejak tidak ada lagi kemasukan pelancong dari negara jiran, pendapatan kami terjejas teruk," katanya ketika ditemui pada penyerahan bakul makanan kepada pemandu teksi di Larkin Sentral, di sini pada Ahad.
Pemandu teksi, Rahizam Ahmad, 53, pula berharap pelan bantuan segera dapat dirangka kerajaan bagi membantu pemandu teksi yang terjejas.
"Pendapatan harian kami kini tidak sampai RM30 sehari, jauh berbeza berbanding sebelum PKP dilaksanakan iaitu antara RM160 hingga RM170 sehari.
"Pelan bantuan seperti pemberian moratorium bagi kredit jangka panjang dan pemberian bantuan tunai 'one -off' boleh dipertimbangkan," katanya.
Sementara itu, Exco Armada Nasional yang juga Ketua Pemuda Negara Negeri Johor, Muhammad Saiful Bahari berkata, sumbangan bakul makanan dapat mengurangkan beban pemandu teksi.
Katanya, penyerahan sumbangan bakul makanan tersebut akan diteruskan kepada lebih ramai pemandu teksi dan golongan memerlukan.