KOTA BHARU - Beras Siam yang menjadi makanan ruji oleh majoriti penduduk Kelantan antara barang mentah paling laris dibeli orang ramai ketika pembelian panik sebaik pengumuman ‘total lockdown’ oleh kerajaan pada Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Siti Khadijah di sini mendapati, bahagian menjual beras meriah dengan bekalan yang baru tiba dihantar oleh pembekal dan pelanggan datang untuk membeli beras sebagai bekalan sepanjang tempoh dua minggu ’total lockdown’.
Seorang peniaga, Mohd Faizal Awang, 27, berkata, permintaan pelanggan terhadap beras Siam meningkat sehingga 80 peratus daripada kebiasaan.
Katanya, peningkatan itu berlaku paling banyak pada hari Sabtu apabila orang ramai membuat pembelian panik dan reda pada Ahad.
"Kebanyakan pelanggan yang datang ke pasar ini biasanya akan membeli sekampit beras Siam dan semalam ramai yang membeli lebih daripada sekampit bertujuan digunakan semasa ‘total lockdown'.
"Harga bagi sekampit beras Siam seberat 24 kilogram (kg) dijual pada harga RM95 manakala beras 20kg, RM85,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini pada Ahad.
Seorang lagi peniaga, Mohd. Zainudin Awang, 43, memberitahu, bekalan beras sememangnya mencukupi dan tidak putus dihantar oleh pembekal ke pasar itu.
"Saya berniaga beras secara kecil-kecilan dengan purata jualan kurang 10 kampit sehari.
"Selepas pengumuman ‘total lock down’, jumlah jualan meningkat kepada lebih 10 kampit sehari,” ujarnya.
Seorang pelanggan, Shahrizam Mohamed, 49, berkata, dia datang ke pasar berkenaan pada hari Ahad untuk membeli beras Siam bagi menggelakkan kesesakan orang ramai pada pembelian panik semalam.
"Kedai jual beras buka walaupun ‘total lock down’, jadi saya tak kalut nak beli semalam. Hari ini, saya datang untuk dapatkan sekampit beras dan kebetulan pula beras di rumah sudah kehabisan.
"Terfikir hendak beli lebih tapi bukan sebab takut bekalan beras habis, sebaliknya bagi menggelakkan atau menggurangkan kekerapan keluar rumah semasa pandemik,” katanya.
Sinar Harian hari ini melaporkan orang ramai membuat pembelian panik mulai semalam susulan pengumuman penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.