LABUAN - Perhimpunan semasa upacara pengebumian di Kampung Sungai Keling telah mencetuskan satu kluster baharu iaitu Simpang Sungai di pulau bebas cukai Labuan semalam selepas seorang lelaki berumur 38 tahun didapati positif Covid-19 dan menjangkiti enam yang lain.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, lelaki itu diuji positif pada 27 Mei lepas dan sekurang-kurangnya 28 orang (21 kes baharu dilaporkan hari ini) dalam kluster itu telah didapati positif sehingga kini.
Terdapat dakwaan bahawa sesi minum-minum dan berjudi yang diadakan (selepas upacara pengebumian itu) telah menyebabkan situasi penularan Covid-19 semakin memburuk.
Pecahan kluster-kluster (dari Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis) yang menyumbang kepada peningkatan kes baharu di Labuan hari ini ialah 13 kes dari Patau-Patau, masing-masing 20 kes dari Simpang Sahari dan Victoria Merdeka serta 21 kes dari Simpang Sungai.
Kes-Kes lain ialah daripada saringan bergejala (24), kontak rapat (26), jangkitan pernafasan akut teruk (enam), saringan kendiri (dua) dan perjalanan rentas negeri (satu).
Dr Ismuni Bohari turut mendedahkan bahawa beberapa premis perniagaan di pelbagai bahagian di pulau itu dan Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah Labuan (UMSKAL) telah diarahkan ditutup sementara untuk sanitasi.
"Kami telah mengeluarkan notis penutupan bagi sanitasi kerana beberapa premis telah dikunjungi pesakit yang positif Covid-19.
"Bangunan menara UMSKAL telah diarahkan tutup untuk sanitasi bagi membolehkan kita mencegah jangkitan di institusi pengajian tinggi,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pengesanan kes aktif akan terus dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 24 Jun.
Labuan telah diletakkan di bawah PKPB selama sebulan bermula 26 Mei selepas merekodkan peningkatan mendadak kes baharu sejak awal bulan ini. - Bernama