Sultan Kelantan mahu rakyat ambil serius jangkitan Covid-19

Iklan
Sultan Muhammad V

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan rakyat termasuk anak-anak perantau mengambil serius peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Titah baginda, semua pihak perlu memainkan peranan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melindungi diri dan keluarga dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu.

Iklan
Iklan

"Mereka (anak-anak perantau) yang tidak mempunyai urusan penting jangan pulang ke negeri ini bagi mengurangkan risiko kepada orang lain terutama orang tua mereka serta golongan berisiko tinggi.

"Rakyat juga diingatkan supaya tidak cuba melarikan diri atau enggan menjalani tempoh kuarantin supaya peningkatan kes dapat dibendung secepat mungkin," titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Sultan Kelantan pada Ahad.

Iklan

Sultan Muhammad V turut memuji rakyat Kelantan yang telah mendaftar mendapatkan suntikan vaksin.

Bagaimanapun baginda menzahirkan rasa dukacita melihat peratusan pendaftaran vaksin dalam kalangan rakyat antara yang paling rendah iaitu hanya 33 peratus sehingga Sabtu.

Iklan

"Semua wakil rakyat di Kelantan bersedia membantu rakyat untuk mendaftar dan mengalami kesukaran hadir ke sesi janji temu menerima suntikan vaksin pada hari yang ditentukan," titah Sultan Muhammad V.

Sultan Muhammad V juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan hadapan terutama sekali kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

"Beta berdoa supaya semua barisan hadapan yang sedang berjuang untuk menyelamatkan dan melindungi rakyat Malaysia sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan yang mulia ini dan mendoakan keselamatan seluruh rakyat yang berada di Malaysia," titah baginda.