Mendidik pengundi muda

Iklan

NEGARA kita, melalui suara bekas menteri termudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 16 Julai 2019 telah mencipta sejarah apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan berkaitan perubahan had umur pengundi pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Hal ini menjadi kenyataan, sungguh pun terdapat teori daripada beberapa kalangan masyarakat kita bahawa kategori manusia yang berumur 18 tahun ini, hanya baru melepasi zaman kanak-kanak, yang tentunya masih belum matang untuk mencorakkan politik sebuah negara.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, sebahagian rakyat berpandangan bahawa umur 18 atau 81 mungkin hanya menjadi faktor angka, kerana dalam keadaan politik, ekonomi, pendidikan dan perubahan sosial serta peradaban manusia kini, kita haruslah memikirkan tentang manusia itu sendiri. Umur tidak menjadi ukuran, tetapi perwatakan dan perilaku manusia itulah yang menjadi ukuran.

Menurut ahli ilmu jiwa dan sarjana lain juga, manusia mempunyai kaitan sesama mereka, sama seperti keperluan mereka kepada air dan udara, makanan dan minuman. Kajian menunjukkan bahawa tanpa perhubungan ini untuk sekian lama, maka manusia akan merasa amat tertekan, seperti yang terbukti daripada kesan pandemik Covid-19 sekarang ini, yang mengakibatkan kepelbagaian kesusahan dan gangguan kepada manusia. Dalam konteks inilah sebenarnya angkatan muda amat perlu dibawa ke tengah gelanggang masyarakat.

Iklan

Anggota masyarakat yang akan bertindak sebagai pemimpin negara nestilah terdiri daripada para tokoh yang berintegriti, bijaksana dan bertenaga. Malah sekiranya faktor yang kedua dan ketiga sahaja yang wujud tanpa integriti, yang merupakan faktor utama, maka kedua-dua faktor yang berbaki itu hanya akan membawa kerosakan dan kemusnahan kepada semua.

Kita amat berharap bahawa ahli politik dan parti politik sendiri haruslah bersikap positif dan matang. Oleh itu mereka mestilah terdiri daripada para pejuang yang adil dan saksama, termasuk golongan yang penting iaitu angkatan muda.

Iklan

Dalam konteks kelahiran manusia yang berintegriti inilah ALLAH SWT berfirman:"Mereka tidak diperintahkan kecuali supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah Al-Bayyinah (98) Ayat 5)

Ayat ini pada dasarnya menyentuh isu akidah, moral, ekonomi, sosial dan isu-isu integriti keseluruhannya bagi manusia keseluruhannya. Diterapkan juga sikap amanah dan ikhlas, berpegang kepada dasar integriti hanya kerana ALLAH SWT. Menyembah ALLAH SWT merupakan satu perjanjian kepada diri sendiri bahawa segala apa yang dilakukannya adalah atas dasar kepercayaan kepada diri sendiri dan amanah kepada ALLAH SWT.

Kematangan

Para pimpinan muda juga haruslah dididik agar ketika menjadi pemimpin maka hal itu bukanlah satu cara menanamkan sikap ascetisim iaitu memencilkan diri, menjauhkan diri daripada rakyat bawahan, menentukan tempat yang tertentu apatah lagi meletakkan diri di tempat atasan sahaja.

Pelajarilah dasar kemuliaan dan kesucian manusia yang berada dalam kematangan akal fikiran, ruh dan jiwa, rohani dan jasmani seperti yang diterangkan oleh Nabi Muhammad SAW yang bersabda bahawa:"Aku jaga malam dan tidur, berkahwin, berpuasa dan berbuka”.

Pendidikan yang diterima oleh Baginda Rasulullah SAW ialah mendalami ilmu pengetahuan daripada kurniaan ALLAH SWT yang amat luas, iaitu ketika Nabi bersunyi-sunyian diri di dalam Gua Hira’, lalu datanglah Malaikat Jibril membawakan wahyu yang pertama kepada Baginda"Bacalah” sehingga budaya Iqra; mendalami segala ilmu pengetahuan, menjadi jalan hidup manusia umumnya, yang dipelopori oleh baginda Rasulullah SAW.

Perubahan senario politik di dunia umumnya, termasuk di negara kita, tentang had umur yang tertentu itu, merupakan satu gerakan ke hadapan yang terbaik. Kemaraan generasi muda itu haruslah terbina di atas asas yang kukuh, yang benar-benar menjalani pendidikan secara forml dan tidak formal untuk menjadi manusia yang terbaik dan pemimpin dunia yang terulung.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia