SUDAH hampir lebih setahun negara dilanda pandemik Covid-19 namun masih ada segelintir masyarakat yang tidak mahu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Tak pasti, sama ada mereka ini tidak faham atau sengaja buat-buat tak faham mengenai bahayanya pandemik ini kerana setiap hari, ada saja laporan berita mengenai kematian dilaporkan.
Bukan itu saja, setiap hari juga media akan menyiarkan berita mengenai mereka yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.
Kenapa susah sangat nak ikut arahan sedangkan arahan itu adalah untuk kebaikan bersama? Orang utara gelar golongan ini sebagai ‘ketegaq’.
Mentang-mentang virus itu tak nampak dengan mata kasar, masyarakat kita langsung tidak takut malah lebih teruk, laporan mengenai pesakit kritikal di hospital dan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus-lumus merawat pesakit dengan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) dikatakan hanya lakonan.Bercakap bab ketegaq, ada juga yang langgar arahan dengan ziarah raya. Ketegaq punya pasal, nak ziarah raya jugak, nak balik raya di kampung, nak raya juga dengan ibu bapa, akhirnya bertambah bilangan orang dijangkiti Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga sendiri.
Macam-macam kita baca cara orang langgar SOP, pelbagai peringkat umur. Dari remaja, sampai ke warga emas. Di Kelantan, seorang imam yang positif Covid-19 mengaku ‘curi-curi’ mendirikan solat berjemaah bersama lebih 10 kariah dalam keadaan rapat dan gelap di sebuah surau semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ramadan lalu.
Di Pulau Pinang pula, dua lelaki dikompaun RM5,000 di sebuah pasar raya selepas didapati merentas daerah tanpa kebenaran kerana ingin membeli-belah.Alasan diberi ketika ditanya pihak berkuasa juga tak masuk akal. Kan dah rugi RM5,000.
Bila kes melonjak, semua meroyan tetapi siapa yang tak mahu dengar arahan? Masyarakat kita ni mahu apa sebenarnya? Diminta pergi vaksin, tidak mahu. Slot vaksinasi sudah dapat, tak mahu pergi juga.
Vaksin
Data menunjukkan 52,771 individu di tujuh negeri tidak hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini walaupun diberi janji temu menerusi aplikasi MySejahtera di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV klinik kesihatan berdekatan tempat tinggal mereka.
Seramai 9,009 individu tidak hadir janji temu vaksin di Perak, 10,827 di Kedah dan hampir 10,000 individu di Kelantan.
Vaksin-vaksin yang diluluskan Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) setakat ini adalah Comirnaty oleh Pfizer-Biontech, Coronavac oleh Sinovac dan Covishield oleh AstraZeneca-Oxford.
Vaksin yang pertama tiba di negara ini adalah Comirnaty keluaran Pfizer-Biontech. Sejumlah 312,390 dos penghantaran pertama tiba di Malaysia pada 21 Februari lalu.
Awal dulu, ramai juga yang tak mahu vaksin buatan China, nak vaksin buatan ‘orang putih’ saja. Nak Pfizer-Biontech dan AstraZeneca sajalah, tak mau Sinovac, kata mereka.Kemudian heboh satu dunia, vaksin AstraZeneca boleh sebabkan blood clot kepada penerima. Pakat tak mau pula vaksin AstraZeneca walaupun keluaran ‘orang putih’.
Ramai tarik diri daripada daftar untuk divaksinasi. Lebih 8,000 orang. Oleh itu, kerajaan tarik AstraZeneca daripada senarai vaksin Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Oleh sebab tidak mahu bazirkan vaksin, maka kerajaan tawarkan secara sukarela. Berebut-rebut pula mereka pulun daftar untuk dicucuk dengan AstraZeneca yang sebelum ini kena reject sampai sistem tergendala.
Ramai masih tidak faham tentang program vaksinasi. Bila diberi penerangan tak mahu dengar dan faham pula.
Bila kes naik, berebut-rebut pula nak cucuk vaksin, biar pun AstraZeneca yang diragui sebelum ini.
Ada rakan wartawan penulis beritahu, ada golongan agamawan yang mengaitkan isu vaksin ini agenda Yahudi. Dakwaan itu dibuat selepas kebanyakkan rakan terdekat mereka meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin.
Sungguh ada yang kata, orang kita lebih takut vaksin daripada Covid-19.
1 Jun ini, bermulalah total lockdown. Ikut SOP betul-betul. Bila kerajaan tak buat, orang kita minta. Bila dah buat, jangan pula tak ikut.
Sungguh, penulis tak faham dengan masyarakat kita. Apa yang mereka mahu sebenarnya? Serba serbi tak kena.
Ini lah ragam orang kita. Tepuk dada tanya selera. Pilihan di tangan masing-masing. Kita jaga kita.