SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) 2.0 berpendirian orang politik atau wakil rakyat tanpa mengira parti tidak boleh dilantik di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pengerusinya, Thomas Fann berkata, ini kerana golongan itu telah dipilih dan dibayar untuk menjadi penggubal undang-undang.
Justeru katanya, tindakan kerajaan melantik ahli politik memegang jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan tidak sewajarnya berlaku.
"Pendirian Bersih 2.0 jelas, tidak ada wakil rakyat yang dilantik ke jawatan GLC,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Jelasnya, pelantikan orang politik menganggotai atau menerajui GLC dibimbangi akan mempengaruhi syarikat daripada membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik.
Selain itu, syarikat yang diterajui orang politik juga berkemungkinan akan menjadi ‘mangsa kerakusan’ mereka untuk mengaut keuntungan peribadi.
"Perkara itu jelas berlaku apabila banyak kes ahli politik yang menerajui GLC didakwa di mahkamah kerana salah guna kuasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Thomas berkata, setiap pelantikan GLC mestilah berdasarkan kebolehan dan prosesnya mesti telus dan dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen.
"Pelantikan tidak boleh hanya dilakukan oleh Perdana Menteri atau menteri bertanggungjawab sahaja.
"Tindakan ini penting supaya ada ketelusan dan bukannya bersandarkan untuk kerajaan mendapat sokongan semata-mata,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: GLC bukan habuan orang politik
Orang politik didakwa kuasai Mara
‘Hentikan cengkaman orang politik dalam Mara’
Lantikan politik dalam GLC ibarat satu bentuk rasuah
Ahli lembaga pengarah GLC perlu berfungsi selaras dasar syarikat