PENYERANG sensasi Bayern Munich, Robert Lewandowski tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan kelab tersebut pada jendela perpindahan akan datang.
Menurut Lewandowski, dia terbuka untuk menerima sebarang tawaran daripada kelab lain namun menegaskan dia masih gembira untuk beraksi bersama Bayern.
"Saya sentiasa terbuka dalam soal perpindahan namun saya rasa bagus di kelab ini dengan bandarnya yang hebat dan sebuah pasukan yang memiliki ramai pemain bintang.
"Namun, saya sentiasa teringin untuk belajar budaya dan bahasa bahasa tetapi saya tidak tahu sama ada ia dalam bola sepak atau selepas karier saya berakhir," katanya.
Sebelum ini, timbul spekulasi mengatakan Lewandowski akan meninggalkan kelab pada jendela perpindahan akan datang dengan kelab dari Itali, Sepanyol dan England berminat mendapatkan khidmatnya.
Penyerang kelahiran Poland itu terus menjadi nadi kepada kejayaan Bayern musim ini dalam kancah domestik, namun mengakui sedikit kecewa kerana gagal memastikan pasukan dapat mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara yang dimenangi musim lalu.
Pasukan gergasi Jerman itu terpaksa akur selepas ditundukkan Paris Saint Germain (PSG) di peringkat suku akhir dengan Lewandowski terlepas aksi tersebut akibat kecederaan lutut.
"Ketika menentang PSG, ia satu perkara yang sangat menyakitkan. Saya rasa diri saya terlalu lemah dan tidak berupaya untuk membantu pasukan memenangi perlawanan. Ia sangat mengganggu saya.
"Saya rasa jika saya berada di atas padang, mungkin keadaan akan sedikit berbeza tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa. Secara peribadi sangat sukar untuk menerima kekalahan tersebut.
"Secara peribadi, kekalan tersebut sukar untuk diterima. Kami sebenarnya mampu menewaskan mereka dengan mudah dan mara ke peringkat seterusnya," katanya.