Cadang dana khas untuk FAMA sepanjang 'total lockdown'

Iklan
Mazlan (kiri) menunjukkan memorandum mengandungi empat tuntutan yang diserahkan kepada Shahizan di Pejabat FAMA Johor, Larkin, Johor Bahru pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu diberi dana khas tanpa had bagi membolehkannya membeli dan memasarkan hasil pertanian sepanjang tempoh 'total lockdown' di negara ini.

Pengerusi Gerak Tani Negeri Johor, Datuk Mazlan Aliman berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah lambakan hasil pertanian dalam tempoh tersebut, sekali gus memastikan petani tidak mengalami kerugian.

Iklan
Iklan

"Ini untuk mengatasi masalah pemborong tidak mengambil hasil pertanian mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Begitu juga ada pemborong yang membatalkan pembelian pada saat akhir selain membeli dalam kuantiti kecil.

"Termasuk kesukaran dan kekangan menjual hasil kepada peruncit atau pengguna. Jika kerajaan menyalurkan dana khas kepada FAMA, kita percaya masalah ini dapat diatasi. Ini adalah satu daripada empat tuntutan dalam memorandum kita kepada FAMA hari ini," katanya ketika sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Pengarah FAMA Johor, Shahizan Sudirman di Pejabat FAMA Johor, Larkin di sini pada Isnin.

Iklan

Mazlan berkata, tuntutan kedua pula supaya FAMA dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membuka outlet atau rangkaian di seluruh negara.

"Ketiga ialah menubuhkan 'war room' dan pasukan petugas khas dengan mekanisme berkesan bagi menangani masalah lambakan hasil pertanian.

Iklan

"Satu nombor hotline yang beroperasi selama 24 jam perlu disediakan supaya petani dapat berhubung terus dengan FAMA bagi menangani masalah pemasaran atau sebarang isu lain dan tindakan susulan dapat dilakukan segera," katanya.

Ujarnya, tuntutan keempat pula ialah FAMA perlu membeli hasil pertanian dengan harga berpatutan untuk mengelak manipulasi harga pihak tertentu mengambil kesempatan membeli dengan harga amat rendah hingga merugikan petani.

Beliau turut mencadangkan agar petani yang terjejas dengan wabak Covid-19 perlu disenaraikan sebagai penerima sumbangan Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Menurutnya, petani merupakan pekerja barisan hadapan dalam keselamatan makanan negara dan sumbangan mereka dalam memastikan bekalan makanan tidak terputus amat besar terutama semasa pandemik.