Perkhidmatan bas Rapid Kamunting berakhir 15 Jun

Iklan
Perkhidmatan bas Rapid Kamunting akan berakhir 15 Jun ini. - Foto Bernama

TAIPING - Rapid Bus Sdn Bhd anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang mengendalikan perkhidmatan bas Rapid Kamunting, di Perak, hari ini mengumumkan penamatan perkhidmatan berkenaan pada 15 Jun ini selepas beroperasi lebih lima tahun.

Menurut kenyataan Rapid Bus, langkah berkenaan diambil kerana kekangan dana dan permintaan rendah bagi perkhidmatan bas sejak awal perkhidmatannya.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu menyebut memulakan operasi pada Mac 2016, Rapid Kamunting adalah satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh kerajaan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Prasarana.

Berdasarkan inisiatif berkenaan, Rapid Bus menyediakan perkhidmatan di tiga laluan iaitu Laluan 10 (Taiping Loop), Laluan 20 (Jejak Warisan Loop) dan Laluan 30 (Bukit Jana - Kg Boyan).

Iklan

"’Rapid Kamunting diadakan sebagai usaha memangkinkan pertumbuhan ekonomi, kesalinghubungan dan kemudahan rakyat serta penduduk setempat.

"Sokongan dan dana daripada NCIA telah tamat pada Februari 2019. Selepas penamatan pemberian dana dan kontrak tersebut, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tidak lagi menyatakan minat untuk meneruskan perkhidmatan Rapid Kamunting,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Begitupun, Rapid Bus telah meneruskan perkhidmatan atas komitmennya untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam walaupun terus mengalami kerugian.

"Seperti juga syarikat-syarikat pengangkutan awam lain, Rapid Kamunting tidak terkecuali daripada kesan impak Covid-19.

”Ini dapat dilihat melalui kemerosotan jumlah penumpang kepada 30 peratus sahaja. Rentetan daripada keadaan yang semakin meruncing tersebut operasi Rapid Kamunting berhadapan dengan cabaran yang getir untuk menampung kos pengoperasian,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Rapid Bus memohon maaf daripada pelanggan-pelanggan setia Rapid Kamunting di sekitar Taiping dan Kamunting kerana terpaksa mengundur diri kerana ia bukan keputusan mudah dan telah dibincangkan pada peringkat tertinggi bersama kesemua pemegang berkepentingan.

"Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan semua pelanggan kami dan juga atas sumbangan kakitangan Rapid Kamunting selama ini.

"Sebagai satu entiti pengoperasian, Rapid Bus menyedari akan tugasnya untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, boleh dipercayai dan selesa kepada rakyat. Kami juga menyedari bahawa untuk memastikan sesuatu perkhidmatan disediakan itu adalah mapan dan lestari ia perlu menjanakan pendapatan mencukupi demi kesinambungan perkhidmatan,” tambah kenyataan itu. - Bernama