SHAH ALAM - Dua orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah kenderaan persendirian dalam satu masa tanpa mengira kapasiti.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga orang termasuk pemandu dibenarkan bagi tujuan perubatan atau kecemasan.
"Seperti janji temu hospital berserta surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera.
"Bagi teksi dan e-hailing, hanya dua orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau e-hailing dalam satu masa tanpa mengira kapasiti dan penumpang hendaklah duduk di tempat duduk belakang.
"Tiga orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-hailing dalam satu masa bagi tujuan perubatan (seperti janji temu hospital berserta surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera) atau bagi tujuan kecemasan,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.
Pada Ahad, kerajaan mengumumkan sebanyak 17 sektor perlu yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.
Dalam kenyataan sama MOT memaklumkan, semua pengendali pengangkutan awam darat dan laut dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50 peratus dan syarikat penerbangan dikecualikan berikutan peratusan penumpang yang sedia ada adalah rendah.
Tambahnya, semua pengendali dibenarkan untuk menentukan frekuensi atau kekerapan perkhidmatan masing-masing secara optimum untuk mengelakkan kesesakan di terminal, platform dan stesen-stesen.
"Semua perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut MOT berkata, syarikat logistik, lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi pada tahap optimum dan pengendali mestilah memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap SOP yang ditetapkan MKN dan KKM.
"Syarikat logistik adalah merujuk kepada syarikat yang berkaitan dengan pengangkutan darat, laut, dan udara serta pengendalian barangan termasuk perniagaan e-dagang.
"MOT akan mengeluarkan surat kelulusan baharu untuk membolehkan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah SMILE dapat beroperasi pada fasa pertama Sekatan Pergerakan Penuh atau ‘lockdown’ ini dan semua surat yang dikeluarkan di bawah SMILE sebelum ini adalah terbatal dan tidak sah,” jelasnya.