PASANGAN beregu campuran negara Choong Hon Jian-Toh Ee Wei berjanji tidak akan besar kepala di sebalik kejayaan demi kejayaan yang dicatatkan oleh mereka kebelakangan ini.
Pasangan muda itu meraih kejuaraan ketiga mereka tahun ini apabila memenangi final kejohanan badminton Terbuka Austria malam tadi.
Tewas pada set pertama, pasangan beregu itu bangkit untuk mengecewakan pilihan utama kejohanan William Villeger-Sharone Bauer dari Perancis dengan 16-21, 21-9, 21-19, pada perlawanan selama 46 minit yang mendebarkan di Raiffeisen Sportpark, Graz.
Ee Wei berkata, beliau dan Hon Jian mahu bekerja lebih keras dalam latihan sebaik kembali ke tanah air dan melakukan persediaan untuk kejohanan seterusnya.
Mereka juga mahu mendedikasikan kemenangan itu kepada para jurulatih temasuk Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann, kerana menaruh kepercayaan terhadap mereka dengan memberikan peluang menyertai kejohanan.
Berkongsi pengalaman mengenai kejayaan mereka mengubah keputusan walaupun ketinggalan 6-11 pada set ketiga dan seterusnya menundukkan pasangan beregu Perancis tersebut, Ee Wei berkata, mereka berupaya mengawal perasaan di sebalik kedudukan mata pada ketika itu.
"Kami agak panik ketika set pertama dan saya berasakan kami telah hilang kawalan serta melakukan banyak kesilapan, namun kami kembali bertenang pada set kedua sebelum mengerahkan segenap tenaga pada set penentuan untuk memastikan kejuaraan milik kami,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan dengan media.
Sementara itu, Hon Jian berjanji untuk meningkatkan prestasi pada kejohanan berikutnya.
Pasangan muda Malaysia itu sebelum ini menjuarai Terbuka Poland pada Mac dan Slovenia International minggu lalu.
Kejayaan Hon Jian-Ee Wei bertambah manis apabila satu lagi pasangan beregu negara, Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri menumpaskan beregu lelaki Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-15 pada final.
Bagaimanapun, harapan beregu wanita negara Anna Ching Yik Cheong-Yap Cheng Wen untuk memperkukuh penguasaan Malaysia pada kejohanan itu dimusnahkan oleh pasangan Indonesia Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani dengan catatan 11-21, 16-21. - Bernama