PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pendaftaran vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat sehingga 50 peratus daripada populasi penduduk berumur 18 tahun ke atas. Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia susulan kebimbangan rakyat terhadap peningkatan kes Covid-19 yang semakin tinggi.
"Ia telah mewujudkan kesedaran kepada rakyat mengenai keperluannya," katanya pada sidang akhbar mingguan PICK yang turut disertai oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di sini pada Isnin. Menurut Khairy, sehingga kini, pihaknya merekodkan 12,117,091 pendaftaran untuk mendapatkan vaksin melalui PICK."Ia lebih daripada 50 peratus populasi negara yang berusia 18 tahun ke atas," katanya.
Beliau berkata, seramai 2,913,009 dos vaksin sudah diberikan."Mereka yang sudah menerima dos pertama adalah 1,860,864 manakala individu yang dos lengkap seramai 1,054,145," katanya. Khairy berkata, sehingga 30 Mei, pendaftaran bagi fasa kedua PICK terus meningkat dan merekodkan 3,871,725.
"Daripada jumlah tersebut, seramai 2,114,839 atau 60.38 peratus adalah pendaftaran daripada warga emas," katanya.
Menurutnya, kadar vaksinasi negara sekali lagi telah mencecah 100,000 dos sehari pada Khamis lalu iaitu sebanyak 107,340 dos.
"Saya percaya selepas cuti hujung minggu yang berbeza di negeri-negeri antara Jumaat hingga Ahad, angka tersebut akan kembali konsisten," katanya. Beliau berkata, inisiatif sukarela vaksinasi AstraZeneca sedang giat dijalankan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
"Setakat semalam (Ahad) kita telah memvaksinasi 213,232 individu," katanya. Ujar Khairy, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC) telah beroperasi.
"Sebanyak 12,000 janji temu telah dijadualkan pada minggu ini yang terdiri daripada golongan berisiko tinggi," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai adakah pihaknya menerima rungutan selepas rakyat tidak diberikan pilihan untuk memilih vaksin, Khairy berkata, kerajaan tidak pernah memberi pilihan.
"Itu cuma cadangan untuk dipertimbangkan."Kita tengok sehingga hari ini, kes meningkat dengan mendadak.
Lebih baik kita bagi (vaksin) apa sahaja yang ada."Kalau diberi pilihan, ia akan melembabkan lagi progress vaksinasi," katanya.