'Nantikan ketibaan pemain ke-26 Harimau Malaya'

Iklan
Hamidin

ADAKAH 'senjata' rahsia Harimau Malaya yang kini dalam persiapan akhir menghadapi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan tiba dalam masa terdekat?

Tanda tanya itu kembali berlegar dalam fikiran peminat bola sepak tanah air selepas Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi isyarat bahawa Harimau Malaya bakal menerima pemain ke-26.

Iklan
Iklan

"Sekarang 8 pagi di Dubai, nantikan ketibaan pemain ke-26 Harimau Malaya,” katanya dalam klip video berdurasi 19 saat yang dimuat naik di laman Facebook dan YouTube FAM pada Isnin.

Sebelum ini, timbul spekulasi kemasukan pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools bakal menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu bagi menghadapi kempen kelayakan tersebut.

Iklan

Ini berikutan kenyataan dimuat naik di laman sesawang kelab Denmark, FC Midtylland yang menyatakan pemain berusia 24 tahun itu mendapat panggilan pertama untuk menyertai Harimau Malaya.

Sejurus perkara itu tular di media sosial, FC Midtylland memadamkan nama Cools dan menukarkan senarai 16 pemainnya yang menerima panggilan pasukan kebangsaan masing-masing kepada 15 nama sahaja.

Iklan

FAM sebelum ini pernah cuba membawa pemain yang beraksi di posisi pertahanan kanan itu untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya, namun Cools dikatakan tidak bersedia ketika itu kerana mahu memfokuskan kariernya di Eropah.

Cools yang mana bapanya warga Belgium manakala ibunya rakyat Malaysia, masih layak beraksi untuk Malaysia di peringkat senior.

Lahir di Kuching, Sarawak, pemain berketinggian 1.85 meter itu telah diturunkan sebanyak 32 kali bersama FC Midtylland sepanjang musim 2019/2020 dan 2020/2021 termasuk tiga kali dalam saingan Liga Juara-Juara.

Cools yang dilaporkan turut boleh beraksi di posisi pertahanan tengah dan kiri, boleh memberikan cabaran sengit kepada pemain negara - Matthew Davies, Syahmi Safari dan Mohd Rizal Ghazali di posisi pertahanan kanan.

Skuad Harimau Malaya dijadual meneruskan misi di Dubai berdepan tuan rumah UAE pada 4 Jun, Vietnam (12 Jun) dan Thailand pada 16 Jun pada pusingan kelayakan tersebut.