Penduduk bimbang gajah muncul lagi

Iklan
Sulaiman menunjukkan pokok kelapa yang ditumbangkan gajah liar di bekalang rumahnya.

SIK - Penduduk Kampung Kota Aur di sini bimbang kemunculan gajah di kampung itu akan membahayakan penduduk selain menyebabkan kerosakan tanaman.

Mereka mendakwa kejadian itu berlaku dalam tempoh 10 tahun ini dan haiwan berkenaan dikatakan berkeliaran dalam kawasan kampung apabila tiba musim buah-buahan antara Mei hingga Oktober.

Iklan
Iklan

Penduduk, Nordin Salleh, 41, mendakwa kira-kira 200 pokok dokong di kebun milik abangnya pernah menjadi sasaran gajah liar sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, haiwan itu tidak merosakkan banyak tanaman tetapi setiap tahun pasti ada pokok tumbang.

Iklan

"Gajah paling gemar makan buah dokong dan cempedak. Haiwan itu tidak akan meninggalkan tempat berkenaan selagi tidak habis musim buah ini dan akan berulang-alik ke dusun," katanya ketika ditemui di Kampung Kota Aur, di sini baru-baru ini.

Nordin mendakwa, buah-buahan yang menjadi pendapatan sampingan penduduk yang kebanyakannya penoreh getah tetapi mereka terpaksa menanggung kerugian.

Iklan

Sementara itu penoreh getah, Abdul Rahman Musa, 78, berkata, gajah liar yang berkeliaran di kampung itu sudah tiga kali memusnahkan pondok yang didirikan di kebun buahnya.

Menurutnya, kali terakhir pondok yang didirikan musnah pada musim buah tahun lalu.

"Mendirikan pondok itu mengambil masa berhari-hari tetapi gajah datang tolak sekelip mata sahaja. Pelapik tiang dipatahkan tetapi saya tidak marah kerana tahu itu sifat haiwan besar ini," katanya.

Menurut Abdul Rahman, biarpun perpindahan gajah yang dikenali sebagai Awang Kota Aur pada Rabu meninggalkan kesan sayu dan rasa kasihan, namun dia bimbang sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Kami rasa lega apabila Awang dipindahkan namun rata-rata penduduk tetap merindui gelagat gajah yang semakin membesar itu," katanya.

Abdul Rahman berkata, dia merancang untuk membina kembali pondok di kebun berkenaan bagi membolehkan keluarganya berehat dan solat selepas menoreh dan menunggu ketika musim buah selain berharap agar tiada lagi gangguan dari kumpulan gajah liar lain.

Abdul Rahman dan isteri menunjukkan sisa kayu hasil dari pembinaan pondok di kebun mereka yang dimusnahkan gajar liar di Kampung Kota Aur, Sik.

Bagi Sulaiman Mat Sek, 55, kehadiran Awang Kota Aur yang semakin kerap melalui kawasan belakang rumahnya sebelum ini membuatkan mereka sekeluarga tidak dapat tidur lena.

Menurutnya, mereka pernah terserempak Awang masuk ke kawasan kampung pada waktu siang serta merosakkan tanaman.

"Lega apabila Awang dah dipindahkan tetapi saya juga dengar ada beberapa ekor gajah lagi. Kami bimbang juga kalau masuk kampung dan rosakkan tanaman lagi," jelasnya.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan seekor gajah liar yang dikenali sebagai 'Awang Kota Aur' seberat tiga tan yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk berjaya dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke Hutan Belum, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Awang Kota Aur' berjaya dipindahkan