Hospital Pakar KPJ Johor mula beri vaksin

Iklan
Hospital Pakar KPJ Johor menjadi hospital swasta pertama di sini memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada warga Johor, bermula pada Isnin.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Hospital Pakar KPJ Johor menjadi hospital swasta pertama di sini memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada warga Johor bermula pada Isnin.

Hospital Pakar KPJ Johor adalah antara tujuh hospital swasta dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) di negeri ini dengan keseluruhan membabitkan empat hospital swasta di Johor Bahru dan masing-masing satu di Kluang, Batu Pahat dan Muar.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah berkata, pelaksanaan vaksinasi di hospital itu dijangka mampu memberikan suntikan vaksin 200 dos sehari sekali gus merealisasikan usaha kerajaan dalam meningkatkan jumlah penerima vaksin sehingga 150,000 suntikan sehari bagi tempoh dua bulan akan datang.

"Kami amat berbangga dan berbesar hati kerana terpilih sebagai sebuah pusat vaksinasi. Ia adalah sebahagian daripada sumbangan kami kepada negara dalam mencapai sasaran untuk memastikan Malaysia selamat daripada wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, lebih 100 petugas kesihatan hospital itu yang terlatih akan ditempatkan di pusat berkenaan bagi membantu proses vaksinasi berjalan lancar dengan pematuhan ketat oleh Kementerian Kesihatan(KKM).

Mohd Azhar berkata, setakat ini vaksinasi di hospital swasta masih belum ditawarkan secara berbayar dalam tempoh terdekat ini maka orang awam dinasihatkan tidak tertunggu-tunggu serta 'menyerbu' hospital swasta untuk mendapatkan slot suntikan vaksin.

Iklan

"Prosedur dan proses mendapatkan vaksin di hospital swasta tetap sama seperti hospital kerajaan atau pusat komuniti lain iaitu pendaftaran masih dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera bagi individu yang layak,” katanya.

Sementara itu di IPOH, Perak Community Specialist Hospital (PCSH) turut menjadi hospital swasta pertama sebagai Pusat Vaksinasi di Ipoh di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, selaras dengan misinya sebagai hospital bukan berasaskan keuntungan, menyediakan perkhidmatan kesihatan berpatutan dan berkualiti kepada masyarakat.

PSCH dalam kenyataan pada Isnin menasihati orang ramai agar mengikut janji temu yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera dan tidak datang terus ke pusat vaksinasi itu tanpa janji temu.

Menurut Presiden The Perak Chinese Maternity Association (TPCMA), Datuk Lee Hau Hian, PSCH akan beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat.

"Penerima suntikan dinasihatkan agar berada di PCSH 15 minit sebelum waktu yang ditetapkan dalam janji temu, bagi menjaga penjarakan fizikal dan proses vaksinasi adalah mengikut prosedur dan amalan seperti di pusat vaksinasi kerajaan.

"Sebanyak 100 penerima akan disuntik setiap hari. Hari ini penerima suntikan adalah mereka berusia antara 84 hingga 101 tahun. Penerima tertua adalah lelaki (Cheong Chee Teik) menetap di Taman Song Choon dan seorang wanita (Yong Siew Sin) berusia 101 tahun dari Rumah Penjagaan di Ipoh,” katanya.

Beliau berkata vaksin Sinovac telah diberikan kepada penerima yang dibekalkan oleh Klinik Kesihatan Gunung Rapat. - Bernama