Covid-19: Kelantan dijangka cecah empat angka

Iklan
Dr Izani (kanan) pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri di Kota Darulnaim pada Isnin.

KOTA BHARU - Kes jangkitan positif Covid-19 di Kelantan dijangka mencecah empat angka atau lebih 1,000 kes sehari pada Jun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, ia susulan nisbah jangkitan itu menunjukkan tren menaik berbanding jumlah penduduk di negeri ini.

Iklan
Iklan

Lebih memburukkan keadaan katanya, kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh sambutan Aidilfitri lalu yang sudah mula menunjukkan kesannya.

"Kes positif harian tinggi telah dicatatkan di Kelantan dalam tempoh beberapa hari lalu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri di Kota Darulnaim pada Isnin.

Iklan

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Menurut Dr Izani, pertambahan itu dijangka terus berlaku kerana wabak virus itu sudah berada dalam komuniti secara besar-besaran.

Iklan

Beliau turut memberi contoh jajahan Kota Bharu mencatat 583 kes daripada 100,000 penduduk pada masa ini dan situasi itu menunjukkan jangkitan sangat tinggi berbanding jumlah penduduk.

Katanya, kerajaan sebelum ini sentiasa memberikan peringatan kepada rakyat untuk terus patuh kepada SOP jika tidak mahu kes terus meningkat.

"Selepas raya kes dijangka naik, jangkaan itu tepat. Lihat pada trend sekarang, Jun ini kes boleh mencecah sehingga 1,000 sehari," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, pada masa sama kadar kematian melibatkan kes Covid-19 di negeri ini menunjukkan tren naik secara mendadak.

Beliau berkata, pada April lalu sebanyak 37 kematian direkodkan dan pada bulan ini sahaja dan 117 nyawa terkorban akibat Covid-19.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 17 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah dibuka dan dijangka bertambah dengan peningkatan kes semasa.