Jangan 'curi' vaksin rakyat Kelantan

Iklan
Dr Izani Husin

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan merayu kepada kerajaan Pusat supaya tidak 'mencuri' vaksin yang dijanjikan kepada rakyat negeri ini untuk diberikan kepada pihak lain.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, sebanyak 200,000 vaksin dijanjikan akan diterima Kelantan pada Jun ini.

Iklan
Iklan

"Apabila kita dengar kerajaan Pusat akan melaksanakan pemberian vaksin berskala mega di Selangor dan Kuala Lumpur, kita harap ia tidak mengganggu peruntukan vaksin untuk negeri ini.

"Kita takut sekiranya mereka ambil hak rakyat Kelantan. Lagipun kita sudah melakukan pelbagai kempen supaya rakyat mengambil suntikan vaksin. Jika tiba-tiba vaksin tidak cukup, apa kata rakyat nanti," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk melakukan suntikan vaksin secara pandu lalu dengan dibantu sukarelawan bagi menjayakan kempen berkenaan.

Menurutnya, penularan Covid-19 di negeri ini boleh ditangani dengan cara mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat.

Iklan

Sementara itu, Dr Izani berkata, 200,000 dos vaksin diterima Kelantan pada Jun ini merangkumi 120,000 dos Sinovac dan selebihnya ialah Pfizer yang akan dibekalkan secara berperingkat.

"Kalau sebelum ini kita takut nak melakukan kempen pengambilan vaksin sebab bimbang bekalan tak cukup dan menimbulkan kemarahan rakyat, tapi selepas dijanjikan dengan 200,000 dos ini, kita lebih yakin dan bersemangat untuk mempergiatkan usaha supaya semua rakyat Kelantan menerima vaksin," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya 60,000 rakyat Kelantan yang sudah melengkapan dua dos suntikan vaksin, manakala 110,000 orang sudah disuntik dos pertama.

"Kerjasama semua pihak termasuk pemimpin setempat, ketua jabatan dan individu sangat diperlukan untuk memberi kesedaran betapa pentingnya vaksin Covid-19," katanya.