SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka sebanyak 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara dalam tempoh ‘total lockdown’ yang bermula Selasa.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, daripada jumlah itu, 24 ialah Pasar Tani Kekal, tiga MyFarm Outlet, 14 Pusat Operasi FAMA dan dua Agrobazaar.
Beliau berkata, sebanyak tujuh komoditi ditawarkan di semua PST iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan atau hasil laut, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.
"Pasar Tani Kekal, MyFarm Outlet dan Agrobazaar akan mula beroperasi pada jam 6 pagi hingga 4 petang manakala Pusat Operasi FAMA bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.
"Objektif PST ialah memberi akses pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan dengan penjimatan lima hingga 20 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Ronald, inisiatif berkenaan juga sebagai ruang untuk usahawan memasarkan produk mereka ketika tempoh pelaksanaan total lockdown fasa pertama.
Katanya, PST juga beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan penjarakan gerai sejauh tiga meter, pintu masuk dan keluar dikawal selia serta menghadkan bilangan kemasukan pengunjung pada satu masa.
Beliau turut menasihatkan pengguna membuat bayaran secara dalam talian dan tanpa tunai sama ada melalui pembayaran QR Pay dan E-wallet supaya dapat membendung penularan wabak Covid-19 melalui wang kertas.
"Operasi PST kali ini juga menawarkan pembelian secara atas talian dan pesanan boleh dibuat sebelum pengoperasian PST sama ada melalui platform media sosial, eWallet atau eDagang dan membuat bayaran terus secara dalam talian atau Cash on Delivery (COD).
"Pengguna juga boleh membuat pilihan untuk mendapatkan pesanan yang ditempah melalui kaedah tempat pengambilan, penghantaran melalui rider atau dropship,” ujarnya.
Dalam pada itu,MAFI turut menyeru kepada usahawan yang menghadapi masalah pemasaran hasil pertanian boleh berhubung terus dengan pejabat FAMA yang berhampiran atau melalui portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/).
Selain itu, bagi pengguna yang ingin mendapatkan info mengenai tarikh dan waktu operasi Pasar Tani Kekal, Pasar Tani dan pusat operasi di seluruh negara semasa PKP fasa pertama, boleh melayari www.fama.gov.my/faq dan klik soalan di bawah Pembangunan Institusi Pemasaran untuk mendapatkan maklumat lanjut.