SEREMBAN - Sebutan semula kes usahawan dan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPD) di sebuah kedai karpet di Nilai, awal bulan ini ditangguhkan pada 23 Jun ini.
Peguam pasangan itu M Haresh berkata, pengurusan kes itu sepatutnya disambung semula Jumaat ini tetapi ditangguhkan oleh mahkamah susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bermula esok hingga 14 Jun ini.
"Mahkamah Majistret Seremban menetapkan 23 Jun sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, dekat sini pada 2 Mei lalu.
Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.
Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.
Mengenai perkembangan mengenai dakwaan Noor Neelofa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada 20 Mei lalu, Haresh berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP PKPB