GOPENG - Seorang lelaki meninggal dunia akibat lemas selepas tersangkut pada celahan batu ketika melakukan aktiviti berkayak di Ulu Geruntum di sini pada Isnin.
Mangsa berusia lingkungan 20-an ditemukan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng selepas menerima panggilan sekitar jam 4.06 petang.
Ketika kejadian, lelaki yang bertugas sebagai pelatih di sebuah kem di situ dikatakan melakukan aktiviti berkayak secara sendirian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Rohana Mustafa berkata, kejadian itu disedari rakan-rakan mangsa setelah ternampak kayak yang digunakan, namun mangsa tiada di dalamnya.
Menurutnya, mereka kemudiannya terlihat tangan mangsa dan cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit pada celahan batu jeram, tetapi tidak berjaya.
"Anggota yang tiba di lokasi kejadian kemudian mendapati kaki mangsa tersangkut pada celahan batu jeram sehingga menyukarkan operasi menyelamat dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Beliau berkata, empat anggota kemudiannya telah menaiki bot 'rafting' bersama seorang pemandu bot ke lokasi mangsa untuk operasi menyelamat.
Katanya, anggota menggunakan bantuan tali dengan teknik sistem 'hauling' dan 'lowering' bagi membantu kerja-kerja menyelamatkan mangsa.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.02 petang," katanya.