SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan sebanyak 2.1 bilion ringgit bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang akan mula diberikan pada hujung Jun ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan BPR sebanyak RM500 akan diberikan kepada kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500.
Bagi isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 pula, beliau berkata, bantuan BPR yang diberikan adalah sebanyak RM300.
"Golongan bujang pula akan menerima RM100.
"BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak 2.4 bilion ringgit,” katanya dalam Perutusan Khas Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Isnin.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selama satu bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja dengan setiap permohonan ditanggung oleh kerajaan.
Katanya, lanjutan tersebut dijangkakan memberikan kesan kepada sebanyak 2.5 juta pekerja dan lebih 200,000 majikan akan mendapat manfaat.
"Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021.
"Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan lebih 400 modul dan kursus kemahiran,” ujar beliau.