PEMAIN beregu badminton lelaki nombor satu negara, Aaron Chia bertekad untuk menamatkan penantian pingat emas pertama negara dpada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Aaron yang berpasangan dengan Soh Wooi Yik berkata, mereka mahu menjadi pemenang pingat emas pertama negara pada temasya sukan terbesar di dunia itu yang dijadualkan bermula 23 Julai di Tokyo.
"Kami mahu menjadi yang pertama, orang pertama untuk menang pingat emas,” katanya seperti tersiar di laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.com.
Pasangan itu yang kini berkedudukan ranking kelapan dalam ranking dunia dan ranking kelayakan ke Tokyo, yakin dengan penyertaan pertama mereka di Olimpik.
Malaysia sehingga kini masih belum pernah memenangi pingat emas Olimpik sejak mula-mula menyertainya pada Olimpik Melbourne 1956 (sebagai Malaya).
Pasangan adik beradik, Datuk Razif dan Datuk Seri Jailani memberikan negara pingat Olimpik pertama, pingat gangsa menerusi acara beregu lelaki, ketika badminton mula-mula diperkenalkan di Olimpik Bercelona 1992.
Acara beregu lelaki catat kejayaan baharu apabila Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock berjaya memenangi pingat perak yang pertama untuk negara, empat tahun kemudiannya di Atlanta.
Sehingga Olimpik Rio 2016, Malaysia menang 11 pingat (tujuh perak, empat gangsa) dengan edisi Rio menjadi yang terbaik dengan empat perak dan satu gangsa. - Bernama