KOTA BHARU - Seorang murid miskin Tahun Enam terpaksa ponteng kelas kerana malu dengan rakan-rakannya disebabkan dia memakai seragam yang lusuh.
Berikutan keadaan itu Muhammad Irfan Abdullah, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Datu’ Hashim, Pengkalan Chepa di sini kerap tidak hadir ke sekolah dan membimbangkan neneknya.
Anak sulong dari tiga beradik itu berkata, dia terpaksa memakai uniform sekolah lama dan juga masih menggunakan baju sukan yang sudah kotor kerana tidak mampu membelinya.
"Bukan saya malas ke sekolah tapi saya malu dengan saing-saing.Baju saya buruk. Buku sekolah pun tak ada. Baik saya duduk rumah,” katanya kepada media hari ini.
Dia ditemui di rumah neneknya, Fatimah Said,67, di Kampung Landak sempena kunjungan Ziarah Cakna yang dilancarkan pihak sekolah hari ini.
Turut sama turun padang, Guru Besarnya, Hamidah Che Abdul Hamid, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Dr Mohd Aziz Mohd Din dan Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Shahnun Hanif Suhaimi Abdullah.
Kekangan yang dihadapi Muhammad Irfan itu dikesan pengurusan sekolah setelah dia sering tidak hadir tanpa alasan munasabah.
Muhammad Irfan dijaga neneknya semenjak dia berusia empat bulan lagi setelah ibu bapanya bercerai dan bapanya kini hanya bekerja kampung yang kadang kala mengutip barang terbuang untuk dijual.
Sementara itu, Hamidah berkata, pihaknya sebelum ini sudah menghulurkan sedikit sumbangan dan akan berusaha membantu Muhammad Irfan supaya dia berjaya dalam pelajaran.
"Hari ini kami hulurkan pakaian baharu dan juga barangan keperluan supaya dia kembali bersemangat untuk ke sekolah,” katanya.
Kemudi turut menyampaikan sumbngan wang tunai kepada keluarga tersebut.