Jadi lebih matang, pantang dua minggu

Iklan
Orang ramai membeli barangan keperluan harian susulan pengumuman penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi selama 14 hari bermula hari ini.

IBARAT ditelan mati emak, diluah mati bapak, begitulah juga agaknya bila kerajaan terpaksa membuat keputusan melaksanakan ‘total lockdown’ bermula hari ini.

Maklum sajalah, ini bukanlah keputusan yang mudah. Keputusan dibuat bukan mengambil kira soal seorang dua, tetapi semua. Bercakap, mengkritik dan mempersoal itu ini memang mudah. Nak melaksana itu yang payah.

Iklan
Iklan

Tengok sajalah, umum saja 'lockdown' ramailah yang alami sindrom panik ke pasar raya. Beli barang macam tiada lagi hari esok. Lebih panik soal barang, bukan angka Covid-19 sekarang. Kita kata sudah melaluinya dulu dan mampu. Kenapa kita macam baru tahu.

Tinjauan penulis sendiri ke beberapa pasar raya di daerah Seremban pada Sabtu mendapati, orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli stok makanan bagi menghadapi 'lockdown' sedangkan kerajaan tiada pun mengumumkan yang pasar raya atau kedai yang menjual makanan, minuman dan barangan akan ditutup.

Iklan

Itu belum lagi isu prosedur operasi standard (SOP) di dalam pasar raya. Dari luar premis memang cantik, beratur sambil dipantau, tapi hilang cantik bila tiada yang memantau di dalam. Bila di dalam lupa SOP, tak kisah duduk rapat-rapat memilih buah sambil tersentuh bahu orang sebelah.

Bila tengok anggota polis lancar beri laluan di lokasi sekatan jalan raya (SJR), dikatanya tak serius periksa. Bila serius periksa sehingga berlaku kesesakan jalan raya, dimarahnya polis menyusahkan mereka.

Iklan

Bila tengok kes terus meningkat diumum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), disoal, dituduh yang data sengaja direka cipta. Sudahnya semuanya jadi tak kena.

Kecam

Paling menyedihkan bila ada juga yang pendek akal mengecam, makian dan cacian pada mereka yang positif Covid-19.

Semestinya mereka sudah terlalu kusut fikirannya bila disahkan positif. Seeloknya kalau tidak ada apa-apa yang baik boleh dikatakan, maka diam itu adalah lebih baik.

Penulis sendiri pernah menemu bual seorang lelaki di Port Dickson yang berdepan tekanan perasaan selepas dikecam netizen tidak sensitif apabila memeluk dan bersalam dengan bapanya yang positif Covid-19, walhal dia sendiri adalah positif.

Betul, kita sudah melalui tempoh 'lockdown' kali pertama pada 18 Mac 2020, tapi kali ini berbeza. Dulu kita hanya dengar Covid-19, tapi sekarang kita berdepan dengan pelbagai varian yang semakin ganas.

Tempoh dua minggu ini jadi penentu hari-hari seterusnya. Jangan lagi ada dalam babak cerita PKP lockdown ini yang bukan-bukan. Sepatutnya semua lebih matang dan sudah belajar 'berpantang'.

Pantangkan diri untuk keluar sesuka hati, sebaliknya pilih duduk di rumah penting kesihatan dan keselamatan diri.

Tapi jangan pula bila dah pantang diri, pantang pula tengok peluang di media sosial untuk kritik sana-sini.

Kata-kata kritikan dan cacian di media sosial itu lagi memedihkan berbanding kata-kata yang didengar depan-depan. Berpantanglah untuk berkata yang bukan-bukan.

Sedarlah, tempoh dua minggu ini tempoh buat muhasabah diri. Mungkin kita sihat sekarang, kita tak tahu akan datang. Bersabarlah, kita benar-benar diuji ketika ini.

Yang paling mahal sekarang adalah ketenangan. Ketenangan yang pernah dilalui tahun-tahun lalu belum pasti selepas ini kita dapat merasainya atau tidak.

Apa yang penting, kita jangan putus berdoa kerana itu sahaja senjata paling bermakna yang ada.

* Syamilah Zulkifli ialah Wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan