BAGAN SERAI - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesan penularan penyakit kulit kental (LSD) yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau di Perak.
Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, sehingga kini satu lokasi dikenal pasti di Simpang Pulai melibatkan sebuah ladang ternakan lembu yang dijangkiti penyakit tersebut.
Menurutnya, pihak JPV telah menjalankan pemantauan rapi di kawasan tersebut selain turut memantau semua ladang ternakan yang terdapat di Perak.
"Ladang itu kini di bawah kawalan JPV, sudah pasti tiada sebarang pengeluaran daging dari kawasan itu bagaimanapun di tempat lain turut diadakan pemantauan terhadap jangkitan penyakit tersebut supaya lembu-lembu yang sakit ini tidak dijual di pasaran.
"Tindakan undang-undang boleh diambil kepada pengusaha tidak bertanggungjawab menjual daging lembu ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan sekuriti makanan dan pemantauan harga barang di Pasar Awam Bagan Serai pada Selasa.
Razman berkata, orang ramai diminta tidak panik dengan situasi tersebut kerana pihak JPV mengesahkan bahawa penyakit itu tidak menjangkiti manusia.
Katanya, penularan tersebut berlaku di beberapa negara Asia lain seperti Thailand, Vietnam dan sebagainya namun baru dikesan di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Razman mengakui berlaku lambakan hasil pertanian di negeri ini melibatkan sayuran seperti cili, timun, jagung, pisang dan sebagainya.
Menurutnya, keadaan itu sedang dibincangkan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak bagi mencari jalan penyelesaian.
"Kita memang terima aduan daripada petani bahawa hasil pertanian mereka tak dapat dijual malah harga seperti timun turun sehingga 30 sen sekilogram dan keadaan ini sangat membimbangkan.
"Situasi ini akan menyebabkan petani tidak menanam, begitu juga yang lain seperti nelayan tidak turun ke laut sekali gus menyebabkan bekalan makanan berkurangan," katanya.
Jelasnya, sehubungan itu kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik untuk memastikan tiada lambakan berlaku serta mengelak kekurangan bekalan makanan terutama di negeri ini.